Khamis, 12 Mei 2016 | 9:30pm

Penguat kuasa Kastam dalang seludup kura-kura


PERHILITAN merampas 55 ekor kura-kura dalam dua beg yang diseludup masuk dari Dhaka, Bangladesh, di klia2 pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Penyeludupan masuk kura-kura jenis 'black pond turtle' yang dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar makanan eksotik di negara ini terbongkar susulan penahanan dua penguat kuasa kastam.

Sumber mendedahkan, dua anggota penguat kuasa Kastam dipercayai bersekongkol dalam kegiatan itu ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, jam 7.30 pagi tadi.

Katanya, anggota penguat kuasa berkenaan berperanan sebagai 'orang tengah' untuk membawa dua beg berisi 55 ekor kura-kura itu dari kawasan tuntutan bagasi, sebelum diserahkan kepada kumpulan sindiket yang menanti di luar balai ketibaan.

Kura-kura dengan nilai pasaran antara RM80,000 hingga RM100,000 itu, katanya, dibalut dengan pita pelekat dan kotak, manakala beg pula disumbat lampin dewasa bagi memastikan air kencing reptilia berkenaan tidak meleleh keluar.

"Beg ini dimuatkan dalam penerbangan dari Dhaka ke klia2 dan apabila tiba di Kuala Lumpur, ia diambil oleh orang tengah yang lazimnya mendapat upah antara RM500 hingga RM1,000 setiap bagasi.


PERHILITAN merampas 55 ekor kura-kura dalam dua beg yang diseludup masuk dari Dhaka, Bangladesh, di klia2 pagi tadi.

"Sindiket penyeludupan haiwan eksotik seperti ini sukar dikesan kerana kegiatan menggunakan khidmat pelbagai pihak, termasuk merasuah anggota penguat kuasa yang mempunyai kebebasan berlegar di terminal lapangan terbang," katanya kepada BH.

Kura-kura jenis 'black pond turtle' adalah haiwan dilindungi sepenuhnya kerana dikategorikan dalam jadual pertama Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

Mengikut Seksyen 10 atau 11 Akta Perdagangan Antarabangsa 2008, seseorang individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah kerana memiliki spesies terjadual.

Berita Harian X