Khamis, 12 Mei 2016 | 8:46am

Federer jadikan Rome Masters medan ujian


AKSI Roger Federer ketika menentang Alexander Zverev pada Terbuka Itali, semalam. - Foto EPA

ROME: Roger Federer menyertai bintang-bintang utama di Rome Masters, Novak Djokovic dan Andy Murray melangkah ke pusingan ketiga sekali pun mengakui dirinya menjangkakan kekalahan ketika bertemu Alexander Zverev di pusingan kedua, semalam.

"Saya bimbang namun amat gembira. Saya menjangkakan akan kalah dengan keputusan straight set hari ini," kata pemenang 17 gelaran Grand Slam itu yang menarik diri daripada kejohanan Madrid Masters, minggu lalu akibat kecederaan belakang.

"Ia berada dalam fikiran saya. Untuk menang dengan keputusan straight set sebenarnya adalah kejutan yang besar buat saya.

"Saya hanya memutuskannya selepas sesi pemanas badan yang saya benar-benar mahu bermain. Bagi saya ia perlawanan yang besar dalam banyak-banyak tahap," katanya yang meraih kemenangan 6-3, 7-5 ke atas pemain dari Jerman itu.

Perlawanan yang berlangsung selama 89 minit itu adalah yang pertama buat bekas pemain nombor satu dunia itu sejak tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga di suku akhir kejohanan Monte Carlo, sebulan lalu.

Sekali pun berjaya melakar kemenangan, pemain berusia 34 tahun itu berkata dia tetap menunggu sehingga saat akhir sama ada akan turut bertemu pemain pilihan ke-13, Dominic Thiem pada pusingan ketiga nanti.

"Saya tidak tahu apa yang akan saya rasa esok. Saya berharap (boleh bermain). Saya sebenarnya sedang menjalani latihan demi latihan. Ia masih baru ketika ini," kata pilihan ketiga kejohanan itu.

Rome adalah kejohanan keempat disertai Federer musim ini selepas mengharungi pembedahan lutut pada awal Februari lalu, pembedahan pertama sepanjang kariernya.

Pilihan utama, Djokovic dan kedua, Murray dalam pada itu tidak memerlukan drama untuk melakar kemenangan dengan jaguh Serbia itu menewaskan Stephane Robert 7-5, 7-5 manakala Murray menumbangkan Kazakh Mikhail Kukushkin 6-3, 6-3.

Rafael Nadal juga meneruskan persembahan baik selepas menewaskan Philipp Kohlschreiber 6-3, 6-3. - AFP

Berita Harian X