Isnin, 3 November 2014 | 9:49am

Van Gaal pertahan Fellaini yang didakwa meludah Aguero


AKSI Marouane Fellaini ketika bertemu Manchester City di Stadium The Etihad Stadium semalam. - Foto AFP

MANCHESTER: Louis van Gaal tampil mempertahankan Marouane Fellaini selepas pemain tengah Manchester United itu didakwa meludah penyerang Manchester City, Sergio Aguero pada pertembungan tetangga di Eastlands, semalam.

City mencatat kemenangan 1-0 pada pertemuan panas di antara dua musuh setempat Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan Fellaini dikatakan berang selepas Aguero dilihat cuba untuk meraih simpati bagi mendapatkan penalti ketika penghujung babak pertama perlawanan.

Aguero rebah ke padang menerusi terjahan Fellaini namun tiada sepakan percuma diberikan oleh pengadil.

Tindakan Aguero itu jelas membangkitkan kemarahan pemain antarabangsa Belgium itu yang kemudian menjerit ke arah penyerang Argentina itu.


PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney (kiri) bersaing dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero dalam aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium The Etihad, semalam. - Foto AFP

Menurut beberapa pemerhati, Fellaini didapati meludah ketika menjerit ke arah Aguero namun pengurus United, Van Gaal menegaskan ia bukanlah niat sebenar pemainnya itu.

"Televisyen menunjukkan dia menjerit dan kadang kala apabila kamu menjerit, akan ada sedikit air liur (yang keluar) sekali dengan jeritan itu," kata Van Gaal.

"Saya tidak fikir dia seorang yang suka meludah," kata pengurus kelahiran Belanda itu.

Bekas pemain Everton, Fellaini mengharungi perlawanan kurang menjadi di Etihad dengan melepaskan beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol. - AFP

Berita Harian X