Khamis, 12 Mei 2016 | 12:13am
PENGUSAHA perkhidmatan penghantaran makanan berpantang, Pantangfood, Siti Aisyah Masri. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PROSES penghantaran oleh Pantang Food bermula jam 8.30 pagi.
MASAKAN yang disediakan kebanyakannya secara bakar, kukus, rebus dan goreng dengan menggunakan bahan mentah bermutu. - Foto Facebook
ANTARA menu disediakan Pantang Food.

Pesan makan ketika pantang


SERI KEMBANGAN: Kesibukan hidup masyarakat bandar terutama golongan profesional, menjadi pencetus idea kepada pasangan suami isteri untuk menyediakan perkhidmatan dan penghantaran makanan berpantang kepada ibu yang baru melahirkan anak.

Peredaran zaman menyaksikan ramai ibu muda memilih untuk berpantang di rumah sendiri kerana tidak mahu menyusahkan suami yang sibuk bekerja atau ibu dan bapa mereka yang sudah tua.

Peluang terbabit dimanfaatkan suri rumah, Siti Aisyah Masri, 35 dan suaminya, Marwan Almutaza Norin, 40, dari Selayang, Selangor yang juga seorang kontraktor, untuk memulakan perkhidmatan penyediaan makanan khusus untuk orang berpantang.

Pantang Food bermula sejak Oktober tahun lalu bagi menyelesaikan masalah pemilihan makanan yang sesuai dan tidak memudaratkan bagi ibu bersalin.

Aisyah berkata, wanita yang menempuh tempoh berpantang selepas melahirkan anak kebiasaannya memerlukan penjagaan rapi terutama aspek pemakanan ketika pantang bagi membolehkan proses penyembuhan luka berjalan lancar.

"Niat saya ketika memulakan perkhidmatan ini adalah untuk bantu golongan ibu di bandar ketika berpantang selain menyediakan makanan yang bersesuaian lagi berkhasiat sepanjang tempoh itu, malah kami turut berkongsi petua penjagaan ketika pantang.


SITI Aisyah dan suami, Marwan menunjukkan risalah promosi makanan berpantang mereka. - Foto Fariz Iswadi Ismail

gn4id:13583356

"Jadi, kami melihat ini satu peluang untuk menyediakan perkhidmatan kepada golongan sasar. Melalui cara ini, saya rasa berbesar hati kerana dapat bantu ibu muda yang mungkin perlu merujuk pihak tertentu ketika berpantang," katanya ketika ditemui BH.

Mereka juga meminta pandangan bidan dan pakar nutrisi makanan ketika menyediakan menu makanan pantang yang berkhasiat.

"Masakan yang disediakan kebanyakannya secara bakar, kukus, rebus dan goreng dengan menggunakan bahan mentah bermutu seperti ayam kampung dan ikan haruan liar.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, penjagaan mutu makanan memang dititik beratkan bagi memastikan pelanggan berpuashati dengan makanan yang disediakan.

"Makanan disediakan bagi sajian tengah hari, petang dan malam, yang mana keseluruhan sajian ini berkalori sekitar 1,500 iaitu bersesuaian dengan nutrisi diperlukan ibu berpantang.

Sementara itu, Marwan berkata hampir 90 peratus pelanggan yang membuat tempahan adalah golongan profesional, malah ada juga ibu yang menempah untuk anak mereka yang sedang berpantang.

"Biarpun penghantaran makanan dilakukan sekitar Lembah Klang sahaja, kami turut mendapat permintaan pelanggan dari Melaka, Johor, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain. Berikutan belum cukup kakitangan, tempahan di luar Lembah Klang belum dapat dipenuhi buat masa sekarang.


KESIBUKAN ibu berpantang di bandar memberi idea kepada perkhidmatan penyediaan makanan untuk ibu dalam pantang.

PENGHANTARAN makanan dilakukan sekitar Lembah Klang.

INFO 

4 pagi: mula proses penyediaan tempahan

7 pagi: proses pembungkusan makanan

8.30 pagi: proses penghantaran dimulakan

PAKEJ DISEDIAKAN

RM642.60: Pakej 14 hari berpantang

RM1,377: Pakej 30 hari berpantang

RM2,019.60: Pakej 44 hari berpantang

RM44.90 Pakej percubaan untuk sehari

Berita Harian X