Khamis, 12 Mei 2016 | 12:00am

Abu Sayyaf: Daripada pejuang kepada penjenayah kejam


MENCULIK untuk mendapatkan wang tebusan, tindakan sukar diramal.

KUMPULAN pemisah Abu Sayyaf mengganas kembali selepas militan IS menyerang Perancis dan rantau Eropah. Pada 25 April lalu, kumpulan yang dikatakan kejam itu menggemparkan dunia apabila membunuh tebusan warga Kanada, John Ridsdel.

Kepala Ridsdel dipenggal dan tentera Filipina mendakwa menemui kepalanya di sebuah pulau terpencil lima jam selepas tarikh akhir penyerahan wang tebusan yang ditetapkan tamat.

Tebusan lain terdiri daripada warga Kanada, Robert Hall, warga Norway, Kjartan Sekkingstad dan wanita warga Filipina, Marites Flor. Abu Sayyaf mengancam membunuh seorang daripada empat tawanan diculik sejak 21 September 2015.

Jurucakap tentera berkata, kepala itu ditemui penduduk di tengah bandar Jolo, kubu Abu Sayyaf. Menurut penduduk, dua lelaki menunggang motosikal dilihat membuang sebuah beg plastik berisi kepala mangsa tawanan malang itu.

Ridsdel adalah tawanan kedua yang dipenggal tahun ini selepas seorang warga Malaysia, Bernard Then turut mengalami nasib sama tahun lalu, selepas tuntutan wang tebusan gagal dipenuhi.

Tindakan kumpulan itu agak sukar diramal kerana tawanan terkini terdiri daripada 10 warga Indonesia dibebaskan tanpa dicederakan. Apakah sebenarnya yang diperjuangkan kumpulan itu sekarang?

Menyorot kembali penubuhannya, Abdurajak Abubakar Janjalani, seorang guru agama yang pernah melanjutkan pengajian di Libya, Syria dan Arab Saudi, dikatakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Abu Sayyaf. Pada 1980-an, dia menyertai perang di Afghanistan menentang Kesatuan Soviet dan kerajaan.

Ketika itulah, Abdurajak berjumpa pengasas Al-Qaeda, Osama bin Laden. Pertemuan itu menjadi titik tolak penubuhan Abu Sayyaf di mana Abdurajak menerima dana AS$6 juta (RM23.52 juta) bagi menubuhkan kumpulan pejuang Islam bersama Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Pada tahun 1990-an, Abdurajak kembali ke Pulau Basilan dan mula mengumpul anggota radikal lama MNLF yang mahu meneruskan perjuangan bersenjata menubuhkan negara Islam merdeka, akhirnya pada 1991, Abu Sayyaf ditubuhkan.

Ketika Abdurajak mengetuai kumpulan itu, dia mendapat sokongan kewangan daripada ahli perniagaan Arab Saudi, Mohammed Jamal Khalifa (dikatakan mengahwini adik Osama bin Laden). Khalifa datang ke Filipina pada tahun 1987 dan 1988 serta mengetuai Organisasi Bantuan Islam Antarabangsa di Filipina.

Abu Sayyaf dikatakan hanya membelanjakan 30 peratus dana untuk bantuan kemanusiaan dan selebihnya membiayai operasi gerakan kumpulan pemisah itu.

Ia mula aktif dalam aktiviti keganasan dengan melakukan pengeboman besar-besaran dan serangan di Filipina, serangan pertama pada April 1995, di bandar Ipil, Mindanao. Pada tahun itu juga Khadaffy Janjalani (adik Abdurajak) melarikan diri daripada Kem Crame di Manila bersama Jovenal Bruno.

Pada 18 Disember 1998, Abdurajak, berusia 39 tahun ketika itu maut ketika bertempur dengan polis Filipina di Pulau Basilan.

Ternyata kematiannya menjadi titik perubahan terhadap operasi Abu Sayyaf yang beralih kepada kumpulan penculik, pembunuh dan perompak, sebaik saja Khadaffy mengambil alih.


ABU Sayyaf menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Ketika zaman Khaddaffy, kumpulan itu mula menuntut wang tebusan daripada mangsa penculikan mereka. Hala tuju perjuangan berubah daripada membentuk negara autonomi kepada mencari sumber kewangan bagi membiayai gerakan mereka.

Pengarah Inisiatif Ketelusan Maritim Asia berpusat di Pusat Pengajian Strategik Antarabangsa di Washington, Greg Poling berkata, Abu Sayyaf adalah kumpulan yang menggambarkan wajah sebenar organisasi pengganas.

"Selepas 15 tahun melakukan beberapa siri serangan ganas ke atas Amerika Syarikat (AS) dan Filipina, mereka pada asasnya menjadi kumpulan penjenayah dengan ratusan anggota yang menculik untuk mendapatkan wang," katanya.

Sepanjang tahun 2000 hingga tahun ini, Abu Sayyaf sudah memenggal enam kepala tebusan. Tebusan pertama, pelancong Peru-Amerika, Guillermo Sobero, pemisah itu menuntut AS$1 juta (RM4 juta).

Perjuangan Abu Sayyaf bagaimanapun berbeza dengan pemisah di selatan Thailand seperti Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

BRN diwujudkan bertujuan untuk menuntut wilayah berasingan yang khusus untuk masyarakat Melayu Islam yang pada asalnya sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Kerajaan Pattani (terdiri daripada wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat) yang diperintah seorang Sultan.

BRN ditubuhkan Haji Abdul Karim Hassan pada 13 Mac 1963 untuk menyokong ideologi Salafi dan terbabit dalam aktiviti politik di masjid dan indoktrin di sekolah Islam.

Anggotanya terdiri daripada belia dan pelajar manakala pemimpinnya adalah guru agama termasuk veteran perang Soviet di Afghanistan.

Berbalik kepada Abu Sayyaf, hala tuju perjuangannya hilang arah selepas kematian pemimpinnya, lalu memilih dunia penjenayah semata-mata untuk kelangsungan hidup.

Info kumpulan Abu Sayyaf

  • Ditubuhkan pada 1991

  • Mewujudkan sebuah negara merdeka
  • Kubu lokasi, Kepulauan Sulu, Basilan, Jolo dan Mindanao
  • Diasaskan Abdurajik Abubakar Janjalani
  • Terbabit beberapa siri pengeboman, penculikan dan wang tebusan
  • Dilabel kumpulan paling kejam di Selatan Filipina, Asia Tenggara
  • Disenarai hitam AS sebagai kumpulan pengganas

Senarai kumpulan pemisah di Selatan Filipina

1. Tentera Rakyat Baru (NPA)

2. Jemaah Islamiyah (JI)

3. Barisan Pembebeasan Kebangsaan Moro (MNLF)

4. Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)

5. Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF)

Berita Harian X