Rabu, 11 Mei 2016 | 9:02pm

Perlu tarikh sesuai PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

BEKAS Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

KUALA LUMPUR: Tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Kangsar (P67) dan Parlimen Sungai Besar (P93) berkemungkinan besar diadakan serentak, pada bulan Ramadan, khasnya minggu kedua cuti persekolahan awal Jun ini.

Begitu pun, PRK dua kawasan parlimen ini tidak mustahil diadakan selepas Hari Wesak pada 22 Mei dan sebelum 4 Jun iaitu tarikh sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong dengan hari mengundi mungkin ditetapkan pada pertengahan minggu pertama cuti persekolahan, akhir bulan ini.

Semua peristiwa ini perlu diambil kira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan hari penamaan calon dan pengundian termasuk mengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata sebelum membuat keputusan muktamad untuk menetapkan tarikh pengundian dalam sesebuah pilihan raya, SPR perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk tarikh cuti umum, peristiwa penting dalam negara dan sambutan perayaan agama.

"SPR perlu memilih satu tarikh yang terbaik kerana apa juga keputusan yang dibuat nanti, ia tidak akan menyusahkan orang ramai terutama pengundi untuk keluar mengundi.

"Saya yakin, Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah, Setiausaha dan ahli SPR akan memilih tarikh yang terbaik untuk kebaikan semua pihak khasnya parti yang akan bertanding. Mereka banyak pengalaman. Kita perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada SPR membuat keputusan," kataya kepada BH.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan tarikh PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar selepas menerima pemakluman rasmi kekosongan kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Isnin lalu.

PRK itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang masing-masing iaitu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon akibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sivamurugan berkata, PRK berkenaan tidak mustahil diadakan pada awal Ramadan khasnya yang kebetulan jatuh pada minggu kedua cuti persekolahan.

"Jika diadakan pada 5 Jun, sudah tentu tidak sesuai kerana seperti tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. Jika dipilih selepas Hari Wesak, ia seperti terlalu tergesa-gesa, ia pasti menyukarkan urusan logistik SPR dan membebankan parti yang bertanding," katanya.

Berita Harian X