Rabu, 11 Mei 2016 | 7:17pm

32 kenderaan buang sampah secara haram disita 

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita 32 kenderaan kerana terbabit dalam kegiatan membuang sampah secara haram di bandar itu dalam operasi hingga awal bulan ini.

Penyitaan itu membabitkan 22 lori, empat pacuan empat roda, lima van dan sebuah kereta.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata penyitaan dilakukan selepas intipan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP).

Katanya, tindakan itu berdasarkan Undang-Undang Kecil 4 Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPK) 2007 kerana membuang sampah di tempat yang tidak ditetapkan oleh majlis.

"Penyitaan itu membabitkan kompaun berjumlah RM29,100," katanya di sini, semalam.

Beberapa kawasan dikenal pasti tumpuan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah termasuk Jalan Kebun Nenas, Jalan Air Mata Duyong, Telok Gong, Flat Taman Chi Liung, Jalan Teratai, Jalan Keledang di Meru, Jalan Raja Mokhtar di Kapar dan Jalan Sungai Putus 2 di Batu Belah.

Berita Harian X