Rabu, 11 Mei 2016 | 6:18pm

Lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher

PASIR GUDANG: Seorang warga asing ditemui mati dengan kesan kelar di leher di tapak pembinaan kondominium di Taman Rinting, Seri Alam dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata polis menerima panggilan jam 9.50 pagi daripada seorang pekerja berhubung penemuan mayat itu.

"Ketika memulakan kerja di tingkat tiga kondominium itu kira-kira jam 8 pagi, seorang pekerja menjumpai mayat lelaki berusia 20-an hingga 30-an dalam keadaan lengkap berpakaian.

"Siasatan polis mendapati mangsa dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher menggunakan senjata tajam," katanya.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X