Rabu, 11 Mei 2016 | 5:27pm
SASHA bersama bapanya, Mohamad Saidin Osman.
GAMBAR kenangan Allahyarham Mohamad Saidin Osman bersama keluarganya.

Bapa Sasha, Zain meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bapa kepada pelakon, Sasha dan Zain Saidin, meninggal dunia jam 8.45 malam tadi di Hospital Melaka akibat kegagalan beberapa organ badan berfungsi dengan sempurna.

Berita kematian bapanya, Mohamad Saidin Osman, dimaklumkan Sasha di laman sosial miliknya, awal pagi tadi.

Arwah bapanya sudah lama berpisah dengan ibu mereka, Siti Aisyah Abdullah, dan berkahwin dengan isteri baharu selain menetap di Melaka.

Beliau turut meninggalkan empat cucu, termasuk anak Zain dan Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana.

Menurut Sasha, Zain sempat ke Melaka untuk bertemu bapa mereka sekitar dua jam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

"Saya hanya sempat melihat jenazah bapa di rumah di Taman Kamariah, Gombak, sekitar jam 1 pagi. Saya sempat berada di sisi jenazah hingga ke Subuh. Jenazah dimandikan di Masjid As-Syakirin, Jalan Gombak pada jam 8 pagi, seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Ibu Kota, Danau Kota.

"Arwah anak kedua daripada tujuh beradik. Arwah juga menjadi anak lelaki sulung dalam keluarga," katanya.

Sasha mengakui beliau cukup rapat dengan arwah bapanya.

"Malah, arwah juga rapat dengan kawan saya. Beliau jenis lelaki yang suka bergaul, tidak kira orang tua atau muda. Sekalipun beliau sudah berpisah dengan ibu, mereka masih bercakap seperti biasa.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya sekitar tiga minggu lalu. Arwah sempat pulang ke kampung halamannya di Gombak dan berpeluang menemani anak saya, Arya, bersukan serta menonton wayang, ketika itu" katanya.

Cerita Sasha lagi, sebelum ini bapanya ada meminta mereka mendapatkan sebatang tongkat kayu untuknya.

"Akhirnya kami temui tongkat kayu nibong itu di Pasar Seni. Arwah sangat gembira kerana dapat memiliki tongkat itu. Saya terfikir untuk menyimpan tongkat berkenaan sebagai kenangan," katanya.

97 dibaca
Berita Harian X