Rabu, 11 Mei 2016 | 2:38pm

Paras air Empangan Bukit Merah meningkat


KEADAAN di Empangan Alur Limpah Selatan, Bukit Merah, minggu lalu. - Foto L Manimaran

TELUK INTAN: Paras air di Empangan Bukit Merah kini telah memasuki pada paras berjaga-jaga berbanding paras zon kritikal sebelum ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Menurut beliau, paras semasa kolam takungan itu pada hari ini adalah 7.04 meter, meningkat 0.15 meter berbanding 6.88 meter yang dikategorikan sebagai paras kritikal pengairan tahap satu semalam.

"Peningkatan paras air sejak beberapa hari lepas pastinya memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Kerian, Kamunting, Taiping serta kawasan perindustrian," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata, peningkatan paras empangan adalah disebabkan hujan di beberapa stesen cerapan di kawasan tadahan termasuk Batu 14 Sungai Kurau, Pondok Tanjung, Kampung Sempeneh serta Bukit Merah, semalam.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri Perak akan menyalurkan bekalan air secara minimum iaitu 5,663.4 liter sesaat (200 cusec) ke kompartmen G dan H, mulai Ahad ini yang melibatkan 4,697 hektar di kawasan pertanian di Selinsing dan Gunung Semanggol yang terjejas akibat cuaca panas ekoran fenomena El Nino.

Keputusan itu dilakukan pada semalam berikutan paras semasa Empangan Bukit Merah yang kian meningkat berikutan keadaan hujan yang turun setiap hari dan telah menunjukkan peningkatan kepada paras kolam Bukit Merah. - BERNAMA

Berita Harian X