Rabu, 11 Mei 2016 | 9:39am

Nadal belum fikir aksi temu Djokovic di Rome


AKSI Nadal ketika bertemu Andy Murray pada Terbuka Madrid, Sabtu lalu. - Foto REUTERS

ROME: Rafael Nadal tetap berkeyakinan tinggi menjelang perlawanan pertamanya di Rome Masters di sebalik kekalahan separuh akhir di tangan Andy Murray di Madrid, minggu lalu.

Juara tujuh kali di Rome itu menegaskan tumpuannya kini terarah penuh kepada perlawanan pusingan kedua menentang Philipp Kohlschreiber, hari ini berbanding memandang lebih jauh iaitu kemungkinan aksi bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di suku akhir.

"Saya tidak bermain menentang Novak, esok (hari ini). Saya akan bermain menentang (Philipp) Kohlschreiber. Dia bermain dengan hebat. Dia menang di Munich beberapa minggu lalu dan turut bermain di separuh akhir di Barcelona," kata Nadal.

"Dia bermain dengan baik dan dia juga pemain yang baik di gelanggang tanah liat. Saya bimbang mengenainya ketika ini."

Nadal yang diletakkan pilihan kelima di Rome meraih kejuaraan di Monte Carlo, bulan lalu dan Barcelona yang dianggap persiapan terbaik menjelang kejohanan Grand Slam gelanggang tanah liat, Terbuka Perancis.

"Permainan saya bagus, tiga kejohanan, dua kemenangan (Monte Carlo, Barcelona) dan satu separuh akhir. Kejohanan yang sukar, kemenangan yang baik, permainan yang baik.

"Jika saya tidak gembira ketika ini, saya tidak tahu bila saya akan gembira," katanya yang ditemui selepas sesi latihan pada kejohanan di gelanggang tanah liat itu.

Kohlschreiber sebelum ini hanya mempunyai satu rekod kemenangan ke atas Nadal namun di atas gelanggang rumput di Halle selain 13 kekalahan kepada jaguh tenis Sepanyol itu.

Pemain ranking 26 dunia dari Jerman itu sebelum ini menewaskan pemain Sepanyol, Inigo Cervantes 6-4, 6-2 pada pusingan pertama.

Dalam pada itu, juara di Madrid, Djokovic berharap dapat meneruskan persembahan terbaiknya minggu ini sehingga Terbuka Perancis - satu-satunya gelaran Grand Slam yang belum pernah dimenanginya setakat ini.

"Saya hanya berharap saya boleh meneruskan kualiti tinggi yang saya peroleh sepanjang minggu di Madrid dan juga minggu ini di Rome, mencari kecergasan dan pergi sejauh mungkin yang termampu," katanya.

Pada perlawanan pusingan kedua pertama, semalam, pemain Jepun yang juga pilihan keenam, Kei Nishikori bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Serbia, Viktor Troicki 5-7, 6-2, 6-3.

Pilihan keempat dan penyandang juara di Roland Garros, Stan Wawrinka juga mara ke peringkat seterusnya selepas menewaskan pemain Perancis, Benoit Paire 5-7, 6-2, 6-1 manakala pilihan kelapan, Tomas Berdych melangkah ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Albert Ramos dari Sepanyol. - AFP

Berita Harian X