Rabu, 11 Mei 2016 | 12:37am
PELAKON, Anzalna Nasir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Anzalna Nasir dan suami, Mohamad Hanif Mohamad Zaki. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANZALNA dan Hanif ketika berada di Tanah Suci Makkah. - Foto ihsan Instagram Anzalna Nasie

Anzalna tolak tawaran berlakon demi suami

RAMADAN yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi menjadi detik indah buat pelakon, Anzalna Nasir. Menjalani ibadat puasa tahun ini baginya lebih istimewa apabila beliau akan berbuat demikian bersama suami, Mohamad Hanif Mohamad Zaki.

Anzalna dan lelaki berkenaan diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 21 Februari lalu.

Bahkan, pelakon Memori Cinta Suraya ini juga sanggup melepaskan tawaran berlakon buat seketika demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga yang baharu dibina.


DETIK indah buat Anzalna dan Hanif ketika mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 21 Februari lalu.

"Saya memang teruja menyambut Ramadan dan Syawal kali ini dengan status isteri. Saya tidak sabar untuk menikmati keberkatan Ramadan seperti berbuka puasa dan bersahur bersama suami.

"Pastinya, apa saja yang saya lakukan kali ini lebih memerlukan usaha yang lebih sedikit. Kerja saya menjaga suami pun perlu lebih diutamakan.

"Memang sepatutnya saya berlakon dalam sebuah telefilem terbitan Global Station Sdn Bhd, tetapi terpaksa saya tolak. Insya-Allah, saya akan berlakon kembali selepas Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui sewaktu menghadiri acara pertunjukan fesyen Cosry sempena kempen Gaya Koleksi Raya 2016 bersama Fashion Valet di Publika, Solaris Dutamas, baru-baru ini.

Kata Anzalna, beliau berasakan adalah lebih baik sepanjang Ramadan nanti beliau berehat dan memberikan perhatian kepada rumah tangga.


ANZALNA dan Hanif mengerjakan umrah bersama di Makkah pada April lalu. - Foto ihsan Instagram Anzalna Nasir

"Rasanya, lebih afdal untuk saya berehat. Saya buat keputusan ini pun sebab suami. Lagipun saya masih baru berkahwin. Tiada apa yang hendak dikejar pun. Saya juga masih belajar menjadi isteri dan jika boleh tidak mahu mengabaikan suami," kata pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md Nasir ini.

Katanya lagi, selain meluangkan lebih masa bersama suami, beliau dan Mohamad Hanif juga mahu melipat gandakan pahala pada bulan mulia itu.

"Kami ada merancang untuk mengadakan kerja amal," katanya ringkas.

Ketika ini, pasangan terbabit belum berkesempatan untuk berbulan madu 'secara rasmi'. Mereka bagaimanapun merancang untuk bercuti ke Amerika Syarikat dan United Kingdom.

April lalu, kedua-duanya juga menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah.


ANZALNA dan Hanif hadir pada pertunjukan fesyen Cosry sempena kempen Gaya Koleksi Raya 2016 bersama Fashion Valet di Publika, Solaris Dutamas, baru-baru ini. - Foto ihsan Instagram Anzalna Nasir

Sempat dipancing dengan soalan apakah beliau sudah mempunyai berita gembira untuk dikongsi, pelakon itu hanya tersenyum manja sambil mengatakan, dirinya belum diberikan rezeki untuk hamil.

"Kami baru saja berkahwin dan kalau boleh, kami ingin menikmati fasa berdua ini terlebih dulu. Begitupun, kalau ada rezeki, saya dan suami tidak menolak untuk bergelar ibu bapa," katanya.

Di akhir perbualan, Anzalna sempat memuji koleksi terbaharu rekaan Cosry di bawah koleksi Cosry Kartina Raya 2016.

"Abang Putra (Teuku Putra Aziz), pereka dan pemilik Cosry, antara orang yang saya cukup senang bekerja. Rekaannya juga cukup cantik. Gaun pengantin rekaan Cosry yang diilhamkan Barbie Mariposa yang dipakai saya dulu masih tebal dalam ingatan. Ciptaannya itu sangat cantik hingga menarik perhatian netizen, termasuk dari luar negara.

"Jadi saya tidak berasak pelik andai koleksi rayanya tahun ini turut menarik perhatian ramai," katanya.

122 dibaca
Berita Harian X