Rabu, 11 Mei 2016 | 12:32am

Al-Quran sinari hidup Zubaili sejak zaman kanak-kanak

MELIHAT kejayaan anak didiknya, terutama mereka yang bermasalah dalam pembelajaran serta kurang fokus menjadi pelajar cemerlang dan berjaya dalam hidup, memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada guru al-Quran dan pendakwah, Teuku Syed Zubaili Teuku Raja, 37.

Al-Quran, katanya, sememangnya adalah penawar segala permasalahan dan penyakit. Beliau melihat keajaiban al-Quran melalui pengalaman mengajar seorang pelajar bermasalah tidak fokus dalam pembelajaran dan autisme yang akhirnya menjadi kanak-kanak yang berjaya.

"Murid saya ini mengalami autisme dan sukar fokus. Setiap hari saya mengajarnya al-Quran. Suatu hari ketika saya membawanya ke suatu majlis tilawah al-Quran, dia mengikuti qari yang sedang memperdengarkan bacaan dengan membaca ayat suci yang tertera di layar dengan fasih sehingga menyebabkan ibu bapanya sangat terkejut.

"Malah, hebatnya kuasa al-Quran, ia mengubah kanak-kanak itu kini menjadi pelajar cemerlang. Dia tidak bergantung kepada ubat dan kini menyambung pengajian di Australia," katanya.

Ceritanya, seorang lagi anak muridnya yang turut mengalami masalah pembelajaran, mendapat kejayaan dalam pelajaran selepas belajar al-Quran.

"Pelajar itu anak orang Inggeris, ibu bapanya sudah putus asa kerana kanak-kanak itu ada masalah dalam pelajaran. Alhamdulillah, selepas mengaji al-Quran setiap hari dan belajar hafazan, pelajar itu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. Al-Quran adalah rahmat dan terapi serta ubat terbaik untuk rohani dan jiwa," katanya.

Bukan hanya mengajar al-Quran kepada generasi muda, Teuku Zubaili turut menjadi guru al-Quran kepada pelajar dewasa sama ada di kelas pengajian al-Quran dikendalikannya di Persatuan al-Hunafa di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur atau ke rumah serta pejabat anak murid dewasanya.

"Anak murid saya yang paling tua berusia 80 tahun. Saya bangga kerana walaupun sudah berumur, dia tidak malu untuk belajar dari bawah. Bermula dengan pengajian Iqra, selepas dua tahun dia sudah boleh membaca al-Quran.

"Dalam Islam, tidak ada istilah terlambat dalam menuntut ilmu dan ia adalah selagi nyawa dikandung badan. Kita perlu menggunakan kesempatan masa diberikan Allah SWT untuk terus membaiki dan memperbetulkan amalan kita kepada Allah SWT," katanya.

Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Teuku Zubaili berkata, ibunya, Siti Aisyah Mohamad Daud, 60 adalah guru al-Quran pertamanya sebelum berguru dengan qari yang terkenal di daerahnya.

"Saya masih ingat pada satu hari, sekitar 1980-an, saya dan Allahyarham bapa (Teuku Raja Muda Teuku Itam) ke pasar pagi. Saya ternampak basikal milik qari yang baru memenangi tilawah al-Quran peringkat negeri. Saya meminta bapa membelikan basikal serupa itu.

"Tetapi bapa menetapkan syarat jika mahu basikal seperti itu saya perlu belajar al-Quran dan menambah bahawa bukan hanya basikal, malah lebih daripada itu boleh diperoleh," katanya.

Tidak lama kemudian, bapanya meminta qari itu mengajarnya al-Quran dan taranum.

"Bapa membuat perjanjian bertulis dengan ustaz itu supaya mengajar saya sehingga mampu bertaranum dengan baik. Pada tahun pertama saya ke masjid berdekatan rumah untuk belajar dengannya tetapi selepas itu saya mengayuh basikal setiap hari sejauh empat kilometer untuk belajar di rumahnya," katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Dakwah dari Institut Agama Islam Sumatera Utara, Indonesia, beliau yang berasal dari Aceh, Indonesia, turut mendalami pengajian taranum dan tahsinul (memperbaiki bacaan) al-Quran serta bertalaqi dengan beberapa syeikh di Mesir selama tiga tahun.

Ketika di Mesir, beliau mempelajari al-Quran setiap hari dengan memperuntukkan tiga hingga empat jam membaca al-Quran di hadapan gurunya.

"Saya akan ke rumah juri tilawah al-Quran antarabangsa, Sheikh Mutawalli al-Ali sebulan sekali untuk berguru dengannya. Rumahnya terletak di sebuah kampung di daerah Sharkiyah, kira-kira empat jam perjalanan menaiki bas dari Kaherah. Lazimnya, saya dan rakan akan ke rumahnya menaiki bas pada waktu petang dan tiba pada sebelah malam.

"Kami menumpang tidur di rumah keluarga angkat warga tempatan. Keesokannya barulah kami ke rumah Sheikh untuk belajar al-Quran. Beliau sangat sibuk dengan tilawah, justeru hanya sebulan sekali kami berkesempatan berguru dengannya," katanya.

Mengimbas kenangan manis ketika berada di Mesir, beliau dan rakan sering dijemput memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan selawat pada majlis keraian seperti perkahwinan dan di stesen televisyen Mesir.

Beliau yang ketika itu Ketua Pengembangan Tilawah al-Quran Ikatan Persatuan Qari dan Qariah (IPQI) yang dianggotai qari dan qariah dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina, pernah dijemput meraikan majlis perkahwinan di daerah Aswan yang terletak kira-kira 900 kilometer dari Kaherah.

"Orang sana walaupun hebat dalam bacaan al-Quran, mereka gemar mendengar bacaan orang Asia. Kami dijemput ke majlis perkahwinan adik kepada Sheikh Idrisiah di Aswan.

"Kami ke Aswan menaiki kereta api yang mengambil masa 12 jam. Ketika itu musim panas dan suhunya mencecah 50 darjah Celsius. Dua malam saya tidak dapat tidur di bilik yang disediakan tuan rumah kerana kepanasan walaupun ada alat pendingin hawa.

"Bayangkan tahap kepanasan ketika itu sehinggakan kami terpaksa membasahkan pakaian dan dalam setengah jam baju akan kering. Bagaimanapun, sudah menjadi budaya masyarakat di situ, walaupun musim panas kaum lelaki tetap akan berpakaian tiga lapis baju dan hanya menampakkan tangan.

"Menjadi aib jika memakai baju yang nipis. Memang berbeza majlis perkahwinan masyarakat Arab Mesir. Tetamu diraikan dengan makan dalam dulang dan persembahan selawat serta bacaan al-Quran hingga pagi. Majlis juga tidak bercampur. Tetamu hanya bertemu pengantin lelaki," katanya.

Sekembali dari Mesir, beliau berhijrah ke negara ini sebagai pelajar Universiti Malaya dan menaburkan khidmat dalam bidang al-Quran dengan ditawarkan mengajar bahasa Arab dan al-Quran di sebuah sekolah swasta Islam sebelum berkhidmat di sekolah swasta Islam, ITQAN sebagai Ketua Jabatan Bahasa Arab.

Kesibukannya mengajar al-Quran ketika habis waktu bekerja menyebabkan beliau mengambil keputusan berhenti dari sekolah itu dan menumpukan sepenuh masa mengajar al-Quran di rumah, pejabat dan Persatuan al Hunafa.

Disebabkan al-Quran juga, beliau berkesempatan bertemu pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjemputnya ke kediaman rasminya pada 2008 untuk memperdengarkan bacaan al-Quran selain solat tarawih bersama-sama Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Beliau yang sering menyertai tilawah al-Quran dan pernah mendapat tempat ketiga tilawah al-Quran peringkat Asia dan Afrika di Kaherah, Mesir pada 2001, turut menyimpan impian mahu mengharumkan nama Malaysia dalam bidang itu jika diberi ruang dan peluang.

Mendirikan rumah tangga dengan Nurul Hikmah Mohd Nasir, 24, Teuku Zubaili yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu, juga sibuk menguruskan rumah anak yatim di Aceh selain sering menguruskan ibadat korban yang disertai rakyat Malaysia di Aceh.

Berita Harian X