Selasa, 10 Mei 2016 | 5:26pm

Pengairan ke sawah di Semanggol, Selising disambung


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto L Manimaran

IPOH: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian setuju menyambung semula bekalan pengairan ke kawasan Semanggol dan Selinsing bermula 15 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak,  Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata keputusan penjadualan semula ke dua kawasan berkenaan yang ditangguhkan berikutan El Nino sebelum ini, diputuskan dalam mesyuarat IADA hari ini.

"Kita mengambil kira beberapa kriteria termasuk peningkatan paras kolam Bukit Merah.

"Walaupun paras semasa kolam Bukit Merah masih kritikal tahap satu iaitu 6.8 meter dan belum mencapai 7.3 meter, hujan setiap hari kebelakangan ini menunjukkan peningkatan terhadap paras kolam berkenaan.

"Selain itu, petani mendesak bekalan diteruskan kerana 50 peratus kawasan sudah ditanam padi yang mencapai usia sebulan berikutan kedegilan petani tidak mengikut jadual memulakan serak kering," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zainol Fadzi berkata, IADA akan menyediakan bekalan pada tahap minimum iaitu 200 cusec dengan catuan bekalan pengairan dan bantuan pam bergerak.

"Bagi kompartment A hingga F seluas 17,776 hektar, bekalan air akan disalur dari Rumah Pam Sungai Bongak dan Rumah Pam Padang Lalang serta dibantu pam bergerak.

"Bekalan itu memadai tanpa saliran dari kolam Bukit Merah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, IADA masih memohon Jabatan Meterologi untuk meneruskan Operasi Pembenihan Awan bagi menurunkan hujan di kawasan berkenaan.

Berita Harian X