Selasa, 10 Mei 2016 | 5:22pm

16 pakej menarik lawat Labuan


TIMBALAN Ketua Pengarah (Strategik dan Domestik) Tourism Malaysia, Chong Yoke Har menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Mohd Zamri Mohd Esa (kanan) di Majlis Pelancaran 'Best Of Labuan Holiday Packages 2016' - Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je di Hotel Grand Dorset, Labuan. Turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Azizah Aziz (kiri). - Foto Malai Rosmah Tuah

LABUAN: Sebanyak 16 pakej pelancongan ditawarkan menerusi 'Best Of Labuan Holiday Packages 2016' - Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je'

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Domestik) Tourism Malaysia, Chong Yoke Har, berkata pakej ditawarkan agensi pelancongan itu diharap berupaya meningkatkan industri pelancongan di pulau bebas cukai ini.

Walaupun Labuan hanya berkeluasan 98 kilometer persegi, katanya, ia kaya dengan sejarah, warisan kebudayaan dan khazanah alam semula jadi.

"Bagi peminat aktiviti menyelam, Labuan mempunyai tarikan itu di beberapa pulau termasuk Pulau Rusukan Besar.

"Kita harap pakej ini mampu menarik lebih ramai pelancong, sekali gus meningkatkan industri pelancongan di pulau ini. Pakej ini juga boleh dilayari menerusi laman web Tourism Malaysia," katanya ketika melancarkan pakej berkenaan di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Mohd Zamri Mohd Esa dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Azizah Aziz.

Sebanyak 16 pakej pelancongan itu ditawarkan oleh empat ejen pelancongan di Labuan yang menyediakan pelbagai destinasi menarik termasuk aktiviti menyelam dan lawatan ke perkampungan atas air.

Berita Harian X