Selasa, 10 Mei 2016 | 11:44am

Mesyuarat khas bincang PRK 2 kerusi Parlimen Jumaat ini - SPR

PUTRAJAYA: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan Jumaat ini.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata makluman rasmi berhubung kekosongan dua kerusi itu diterima daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, semalam.

"Ia membabitkan kerusi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P067 Kuala Kangsar di Perak dan P093 Sungai Besar, Selangor berikutan kematian penyandangnya iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon akibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

"Selaras Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu wujud kekosongan luar jangka, SPR akan mengadakan mesyuarat khas.

"Ia bagi membincangkan tarikh kekosongan kerusi Parlimen berkenaan, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan diperlukan bagi melaksanakan PRK," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, akan mengendalikan mesyuarat sebelum mengadakan sidang media.

Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad adalah antara enam mangsa kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dekat Sebuyau iaitu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata UMNO sudah mengenal pasti beberapa individu berpotensi untuk disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.

Berita Harian X