Selasa, 10 Mei 2016 | 8:42am

Stadium Olimpik sukar jadi 'kubu' West Ham


Pengurus West Ham United, Slaven Bilic.

LONDON: West Ham United berasa mustahil untuk mengembalikan suasana sama seperti di Upton Park selepas menjadikan Stadium Olimpik sebagai kubu baharu mereka untuk musim depan, kata pengurusnya Slaven Bilic.

The Hammers akan beraksi dalam perlawanan kompetitif terakhir menentang Manchester United di venue itu, awal pagi ini sebelum berpindah ke stadium dengan kapasiti 60,000, meninggalkan Upton Park selepas 112 tahun.

"Anda perlu mempunyai suasana menakutkan untuk pasukan lawan. Lupakan ia - tidak mungkin suasana itu akan kembali," kata Bilic yang dipetik oleh BBC semalam.

"Anda kehilangan sesuatu kerana mustahil untuk menjadikan Stadium Olimpik sebagai kubu."

West Ham akan membayar sewa 2.5 juta pound (RM14.59 juta) setahun kepada London Legacy Development Corporation (LLDC). Sekurang-kurangnya 272 juta pound (RM1.58 bilion) sudah dibelanjakan untuk mengubah stadium itu.

Menerusi Stadium Olimpik ini West Ham mengaut keuntungan tambahan sebanyak 12 juta pound setahun. - Reuters

Berita Harian X