Isnin, 9 Mei 2016 | 6:44pm

ZSIEFA: RM25 juta bantu 5,000 pelajar


RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Datuk Ghazali Mohd Yusoff (kanan) melancarkan Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (Yayasan) menyasarkan bantuan kepada 5,000 pelajar setiap tahun dengan peruntukan berjumlah RM25 juta menerusi Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA).

ZSIEFA yang dilancarkan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini memperkenalkan tiga pelan pelaburan pendidikan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Datuk Ghazali Mohd Yusoff, berkata skim pertama 'Inisiatif B-40 ZSIEFA' bertujuan membantu pelajar dengan pendapatan keluarga kurang RM3,000 sebulan.

"Ia membabitkan pemberian permulaan RM1,500 kepada setiap pelajar bagi membantu kos pengangkutan serta elaun tiga bulan pertama sebaik mendaftar di universiti.

"Geran Pengajian Pelajar ZSIEFA akan membantu kewangan penerima dalam menjalankan penyelidikan atau penyediaan tesis dengan bantuan RM2,000 secara 'one-off' dan hanya boleh dimohon sekali sepanjang pengajian," katanya.

Ghazali berkata, kedua-dua pelan pembiayaan berkenaan terbuka kepada rakyat tempatan yang menuntut di universiti dalam negara dari ijazah pertama sehingga program kedoktoran.

"Pelan ketiga iaitu Program Kepelbagaian Dalam Pengajian bertujuan membantu institusi dan individu yang ingin menggalakkan kepelbagaian dalam kajian serta pendidikan bagi membentuk masyarakat lebih holistik.

"Antara yang bakal dilaksanakan menerusi program ini adalah penerapan subjek vokasional dalam pembelajaran sekolah tahfiz atau madrasah yang terbuka kepada calon antarabangsa dan tempatan, individu serta institusi pendidikan," katanya.

Berita Harian X