Isnin, 9 Mei 2016 | 5:14pm

Kerajaan Selangor perlu dalamkan Sungai Langat

DENGKIL: Kegagalan kerajaan Selangor mendalamkan Sungai Langat, membina ban dan menggali kolam takungan hujan menyebabkan beberapa kawasan di Dengkil terus dilanda banjir saban tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, sudah beberapa kali membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi tiada tindakan diambil pihak berkenaan.

"Banjir kilat kerap berlaku kerana limpahan Sungai Langat berikutan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak, terutama ketika hujan lebat walaupun untuk tempoh singkat.

"Sabtu lalu, seramai 404 penduduk dari tujuh kawasan yang dilanda banjir kilat terpaksa ke pusat pemindahan di Taman Gemilang di sini.

"Sehingga petang ini, 303 mangsa banjir masih tinggal di pusat pemindahan berikutan air masih bertakung manakala selebihnya sudah pulang untuk membersihkan kediaman," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Shahrum turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa terbabit.

Antara yang teruk terjejas ialah Kampung Cemperai, Kampung Revolusi Hijau, Kampung Semarang, Ampar Tenang, Taman Baiduri, Kampung Lalang dan Kampung Seri Tanjung.

Sementara itu, Ketua Kampung Taman Gemilang, Rosli Mokhsin, berkata hujan lebat Sabtu lalu menyebabkan air memasuki rumah penduduk mulai jam 10 malam.

Berita Harian X