Isnin, 9 Mei 2016 | 5:10pm

Peraturan baharu disiplin pelajar tahun depan


TIMBALAN Menteri Pendidikan II, Chong Sin Woon menunjukkan Buku Panduan Menangani Buli Di Sekolah ketika sidang media mengenai Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Displin Murid Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan dalam peringkat akhir kajian bagi menambah baik Ordinan 1957 dalam Peraturan-Peraturan Disiplin Pelajar 1959.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon, berkata peraturan baharu dan langkah penambahbaikan itu akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara untuk dimuktamadkan.

Katanya, ia dijangka diguna pakai pada sesi persekolahan tahun depan.

"Melalui draf penambahbaikan ini, segala peraturan akan menjadi lebih teratur manakala pekeliling atau tatacara tindakan disiplin akan disatukan.

"Kuasa akan diberi sepenuhnya kepada guru besar atau pengetua terutama dari segi hukuman, tatacara dan surat amaran.

"Melalui penambahbaikan ini, pelajar yang mempunyai kes disiplin memerlukan mereka menghadiri kaunseling," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin di sini, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Yayasan Pencegahan Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kongres Guru-guru Malaysia, Kongres Guru Besar Malaysia dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Berita Harian X