Isnin, 9 Mei 2016 | 8:39am

Pochettino gesa Spurs mula berfikir seperti kelab besar


PENGURUS Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino pada pertemuan dengan Southampton pada saingan Liga perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

LONDON: Mauricio Pochettino percaya Tottenham Hotspurs tidak seharusnya terlalu obses memikirkan untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di atas Arsenal.

Awal pagi tadi, Tottenham tewas 2-1 kepada Southampton yang memberi peluang buat musuh tradisinya, Arsenal kembali memintas mereka menuju perlawanan terakhir liga, Ahad ini dengan kedua-duanya ketika ini hanya dibezakan dua mata.

Seandainya menang pada perlawanan terakhir menentang Newcastle di laman lawan, Ahad ini, ia kali pertama Spurs menamatkan saingan liga di atas Arsenal dalam tempoh 21 tahun namun Pochettino mahu anak didiknya mengubah mentaliti mereka dan mula berfikir 'seperti kelab besar.'

"Ini adalah masalah yang besar. Kami perlu mula untuk melihat kepada diri kami dan bukan melihat apa yang berlaku kepada jiran kami," kata pengurus kelahiran Argentina itui.

"Kami perlu mengubah mentaliti untuk menjadi besar, kelab yang besar," katanya.

Bekas pemain Spurs yang kini bertugas sebagai pengulas perlawanan, Jermaine Jenas juga bersetuju yang Tottenham perlu lebih matang berbanding memberi tumpuan mengatasi Arsenal kedudukan liga.

"Saya gembira untuk mendengarnya daripada dia," kata Jenas mengenai kenyataan Pochettino.

"Ketika saya masih bermain, harapan kami adalah sentiasa untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas. Dan ia memberi semangat kepada kamu sebagai pemain," katanya yang turut dipersetujui seorang lagi bekas pemain Spurs, Danny Murphy. - Agensi

Berita Harian X