Ahad, 8 Mei 2016 | 8:52pm

Lebih 300 mangsa banjir di Dengkil dipindahkan

SEPANG: Lebih 300 penduduk dari enam kampung di Dengkil terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak 5 petang semalam.

Enam kampung berkenaan ialah Kampung Sungai Buang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Revolusi Hijau, Kampung Lalang, Kampung Semarang dan Kampung Seri Tanjung.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Sepang, Azli Muhidin, berkata semua 388 mangsa daripada 89 keluarga ditempatkan sementara di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Taman Gemilang, Dewan Ampar Tenang dan Surau Kampung Sungai Buang Luar.

"Setakat 3 petang ini, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan tidak berubah kerana banjir masih belum surut dan ia dijangka meningkat ekoran hujan lebat pada waktu petang," katanya ketika dihubungi hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X