Ahad, 8 Mei 2016 | 2:51pm

DAP ucap tahniah kepada Adenan


KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUCHING: DAP mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Adenan Satem atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, semalam.

Ucapan itu disampaikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pada sidang media pertama parti itu selepas berakhir PRN yang menyaksikan DAP hilang lima kerusi.

Kit Siang yang mengakui kekalahan besar DAP pada PRN ini berkata, kajian akan dibuat bagi mengenal pasti punca kekalahan parti itu.

"Memang DAP kalah besar pada PRN ini tetapi jika dibanding dengan keputusan PRN lain sebelum ini kecuali pada tahun 2011, keputusan kali ini tidaklah begitu teruk," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Sementara itu, Chieng Jen mengakui faktor Adenan menjadi punca kekalahan besar DAP dalam PRN-11 kerana sokongan masyarakat Cina beralih kepada Barisan Nasional (BN).

"Kami perlu memandang ke depan dan berusaha untuk meraih kembali sokongan masyarakat tempatan pada masa akan datang," katanya.

Pada PRN ini, DAP hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu manakala lima kerusi iaitu di Batu Kawah, Piasau, Meradong, Repok dan Dudong kembali dikuasai BN.

Berita Harian X