Ahad, 8 Mei 2016 | 12:15pm

Bukti sokongan padu rakyat Sarawak


DATUK Seri Adnan Yaakob (kiri) dan Datuk Seri Noh Omar. - Foto NSTP

KUANTAN: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) Sarawak membuktikan kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, diterima sebahagian besar rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata ia adalah petanda baik untuk masa depan rakyat Sarawak dan membuka laluan kepada kerajaan negeri serta Pusat menjalinkan kerjasama lebih kukuh.

"Tahniah kepada Tan Sri Adenan dan saya yakin faktor 'Tok Nan' ini memberi impak positif kepada keputusan rakyat negeri itu dalam membuat pilihan.

"Kemenangan ini dilihat bakal membuka ruang kepada Sarawak memperoleh lebih autonomi dalam pelbagai perkara demi manfaat rakyat Sarawak," katanya menerusi SMS kepada BH di sini, sebentar tadi.

Beliau diminta mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak semalam yang menyaksikan BN memperoleh 72 kerusi, manakala DAP hanya memenangi tujuh kerusi dan PKR kekal dengan tiga kerusi.

PAS dan AMANAH gagal memenangi sebarang kerusi.

Di SHAH ALAM: Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata kejayaan cemerlang BN Sarawak itu menjadi contoh terbaik kepada BN Selangor untuk merampas kembali negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

"BN Selangor turut ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem serta kepada semua calon yang menang.

"Kemenangan ini membolehkan BN Sarawak di bawah kepimpinan Adenan meneruskan legasi kecemerlangan BN dalam membangunkan negeri di samping menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Berita Harian X