Sabtu, 7 Mei 2016 | 11:16pm

72 cukup bermakna buat Adenan


KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUCHING: Rakyat Sarawak memberikan hadiah istimewa kepada Tan Sri Adenan Satem dengan mandat besar untuk menerajui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) buat penggal ke-11.

Kemenangan 72 kerusi untuk pemimpin berusia 72 tahun itu pada pilihan raya negeri ke-11 menunjukkan rakyat Bumi Kenyalang memberi kepercayaan kepada Adenan untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-11.

Pencapaian itu merupakan detik bersejarah bagi Adenan, selaku presiden PBB, selama 40 tahun berkecimpung dalam politik.

Kemenangan itu lebih manis apabila BN merampas tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Mengetuai BN buat pertama kali pada pilihan raya negeri, Adenan meminta pengundi memberi peluang lima tahun lagi sebelum beliau bersara dalam politik bagi merealisasikan visinya membangunkan negeri ini bersama kaum Cina dalam kabinet negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X