Sabtu, 7 Mei 2016 | 10:01pm

Qari, qariah Malaysia johan tilawah


NOR Azrah Ayub daripada Malaysia membuat bacaan Al-Quran ketika majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58 Tahun 1437H / 2016M di PWTC. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR:  Qari dan qariah Malaysia, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayub muncul johan majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58, diumumkan di sini sebentar tadi. 

Naib Johan bagi kategori qari dimenangi Awangku Adibul Amin Pengiran Marjuki dari Brunei manakala kategori qariah Mastia Lestaluhu dari Indonesia. 

Tempat ketiga bagi qari dimenangi peserta dari Indonesia iaitu Awaluddin Mohor dan qariah dimenangi Siti Huzzaimah Yadey Rosli (Brunei). 

Mesir muncul johan bagi kategori Hafazan bahagian lelaki dan wanita yang diwakili Abdulla Said Mohamed Bayoumy Elkazzaz dan Mayada Mahmoud Mahmoud Abdelrahim. 

Kedua-dua wakil Malaysia bagi kategori hafazan mendapat naib johan.  

Malaysia diwakili Mohamad Omar Mansu dan Farihah Zulkifli. Tempat ketiga dimenangi peserta Amerika Syarikat, Hamzah Alhabasy bagi kategori hafiz dan hafizah dimenangi peserta Lubnan, Asma Adra.

Johan qari dan qariah kategori tilawah membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000 manakala bagi kategori hafazan, johan hafiz dan hafizah bakal menerima kepingan emas bernilai RM20,000 tajaan Yapeim, piala iringan dan wang tunai RM20,000. 

Penganjuran tilawah antarabangsa tahun ini bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' berlangsung selama lima hari bermula Isnin lalu. 

Sebanyak 68 peserta memperdengarkan bacaan daripada 38 peserta bagi kategori tilawah dan 30 peserta bagi kategori hafazan. 

Berita Harian X