Sabtu, 7 Mei 2016 | 4:47pm

Usahawan belia perlu peka kemudahan pembiayaan kerajaan

KUALA TERENGGANU: Usahawan belia di negeri ini perlu merebut peluang dan peka terhadap kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi bagi meningkatkan pendapatan menerusi perniagaan dijalankan.

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim, berkata pelbagai program sudah dilaksanakan bagi menyokong Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menerusi agensi seperti SME Corp Malaysia.

"Antara program dilaksanakan tahun ini adalah Program Galakan Eksport Bumiputera dan 'Go-Export' bagi membolehkan PKS terutama golongan belia berpotensi memasarkan produk atau perkhidmatan masing-masing ke luar negara dengan bantuan geran.

"Program Galakan Eksport Bumiputera diumumkan Perdana Menteri pada April lalu akan dilaksanakan pihak kami dengan kerjasama MARA dalam usaha membantu PKS Bumiputera yang masih baharu dan sedia ada mempersiapkan mereka menghadapi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di peringkat ASEAN nanti," katanya.

Muhammad berkata, program memperuntukkan dana RM40 juta itu akan mampu memberi manfaat kepada 400 PKS Bumiputera dan berpeluang mengeksport produk ke luar negara.

"PKS terutama golongan belia perlu sentiasa proaktif mengenal pasti peluang baharu di pasaran luar seperti ASEAN dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik saja.

"Jadi, bagi memastikan keberhasilan sasaran ditetapkan, persatuan dan dewan perniagaan Bumiputera yang terbabit dalam program berkenaan akan bersama membantu memantau perkembangan syarikat mereka," katanya.

Katanya, Exim Bank Bhd juga sudah meningkatkan dana pembiayaan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemudahan jaminan kredit untuk perdagangan, sekali gus membantu beberapa PKS bersaiz kecil, terutama dari segi peningkatan kapasiti.

"Malah, kerajaan juga memperuntukkan RM107 juta dalam Rangka Tindakan PKS untuk menyediakan dana kepada entiti di pelbagai peringkat pembangunan perniagaan dan RM60 juta untuk Pecutan Usahawan dan Skim Pengkayaan Kapasiti dan Keupayaan PKS oleh SME Corp Malaysia.

"Usahawan belia perlu sentiasa peka dan memanfaatkan kemudahan serta kepakaran sedia ada dengan menawarkan harga kompetitif kepada pengguna jika mahu terus relevan dan kekal dalam pasaran.

"Sebenarnya, PKS juga mampu meningkatkan sumbangan eksport mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 23 peratus pada tahun 2020 berbanding 17.6 peratus pada masa ini," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X