Sabtu, 7 Mei 2016 | 11:57am

Hidup mati City jumpa Arsenal

LONDON: Perancangan Pep Guardiola untuk Manchester City bagi saingan Liga Juara-Juara musim depan kini bergantung di tangan pengendali ketika ini, Manuel Pellegrini yang berdepan perlawanan hidup mati menentang Arsenal di Stadium Etihad, malam esok.

City tersingkir daripada separuh akhir Liga Juara-Juara, kelmarin selepas tewas 0-1 di tangan Real Madrid sekali gus menjawab segala persoalan mengapa pengurus tertinggi kelab itu terlalu berharap dengan khidmat Guardiola.

Bagaimanapun, dengan Manchester United dan West Ham United masih mempunyai peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara, kedudukan City di tangga keempat - slot terakhir ke saingan berprestij Eropah itu - bakal tergugat jika tewas kepada Arsenal yang menghuni tangga ketiga.

Jika itu berlaku, ia akan menyaksikan Guardiola terpaksa membawa City bersaing dalam saingan Liga Europa pada musim pertamanya di Eastlands.

Pellegrini dikritik kerana merehatkan beberapa pemain utama ketika tewas 2-4 kepada Southampton tetapi dia menjawab: "Saya fikir adalah penting untuk mara ke Liga Juara-Juara tahun depan.

"Kontrak saya akan tamat di sini tetapi itu bukan perkara yang saya bimbangkan," kata pengendali dari Chile itu.

Pengendali berusia 62 tahun itu sudah mengharungi pengalaman pahit manis sepanjang tiga tahun di Stadium Etihad dengan membawa City menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2014 dan dua kali juara Piala Liga - 2014 dan tahun ini - selain kelab itu mara kali pertama ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Mengenai tugasan ke-57 dan aksi terakhir liga di laman sendiri sebagai pengurus, Pellegrini berkata: "Sudah pasti ia sesuatu yang istimewa kerana menamatkan saingan di laman sendiri selepas mengharungi tahun yang sukar.

"Bagaimanapun, sebagai pengurus kamu cuba untuk mengatasi emosi kamu. Sudah tentu saya ada perasaan tetapi saya tidak mahu tunjuk," katanya.

Menjelang pertembungan malam esok, City ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dengan United dan West Ham yang akan bertemu, awal pagi Selasa ini baki menghabiskan baki perlawanan dengan ketinggalan empat dan lima mata.

Arsenal memenangi dua perlawanan terakhir liga menentang City dan kemenangan ketiga malam esok bakal menjamin tempat mereka di kedudukan ketiga sekali gus mara ke Liga Juara-Juara buat kali ke-19 berturut-turut.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berdepan protes daripada segelintir penyokong kelab itu ketika kemenangan 1-0 ke atas Norwich City tetapi mendapat sokongan majoriti penyokong yang hadir ke Stadium Emirates. - AFP

Berita Harian X