Sabtu, 7 Mei 2016 | 8:40am

Nadal, Murray, Djokovic mara separuh akhir di Madrid


NADAL akan berdepan juara bertahan, Andy Murray dalam aksi separuh akhir Madrid Masters. - Foto AFP

MADRID: Rafael Nadal akan berdepan juara bertahan, Andy Murray dalam aksi separuh akhir Madrid Masters selepas melebarkan rekod kemenangannya kepada 13 perlawanan di gelanggang tanah liat Eropah musim ini dengan menewaskan Joao Sousa 6-0, 4-6, 6-3, semalam.

Murray pula meneruskan kemaraannya ke kelompok empat terbaik selepas mengatasi pilihan kelapan, Tomas Berdych 6-3, 6-2.

Bagi Nadal, dia kini dalam usaha untuk mengatasi rekod legenda tenis Argentina, Guillermo Vilas di gelanggang tanah liat dengan gelaran ke-50 dan kelima di Madrid minggu ini.

Bagaimanapun, dia perlu membalas dendam ke atas Murray yang mencipta satu-satunya kemenangan ke atas juara Grand Slam 14 kali itu ketika aksi final di Madrid, tahun lalu.

"Murray adalah pakar di semua permukaan, pemain yang mudah untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan," kata Nadal.

"Saya tidak boleh memikirkan mengenai aksi tahun lalu, ia tahun yang berbeza. Saya harap keputusannya juga tidak sama".

Murray pula pastinya masih belum melupakan kekecewaan tewas kepada Nadal ketika aksi final Monte Carlo, bulan lalu.

"Saya fikir dia bermain dengan lebih baik tetapi saya juga berasa saya bermain lebih baik berbanding masa yang sama tahun lalu.

"Semuanya akan bergantung kepada cuaca, ia berbeza dengan Monte Carlo, ia sepatutnya hujan di sini untuk beberapa hari lagi dan bermain di gelanggang tertutup mengubah semuanya," kata Murray.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic turut mara ke pentas final selepas menewaskan pilihan ke-11, Milos Raonic 6-3, 6-2.

Dia akan berdepan pemain Jepun, Kei Nishikori dalam perebutan tempat ke final.

Nishikori mara selepas menyingkirkan Nick Kyrgios 6-7 (6/8), 7-6 (7/1), 6-3. - AFP

Berita Harian X