Sabtu, 7 Mei 2016 | 12:05am
TIADA tawaran menyanyi yang pernah dialaminya sebelum ini diakui Zamani membuatkan dia berdepan banyak masalah dan tertekan hingga terpengaruh dengan dadah. Foto Nik Hariff Hassan

Zamani elak tekanan untuk jauhi dadah


BERBANDING beberapa tahun lalu, penampilan vokalis kumpulan Slam, Zamani, ketika ini kelihatan lebih segar dan terurus. Malah, tubuhnya yang suatu ketika dulu kurus melidi kini tampak berisi.

Tatkala duduk bersembang dengannya sambil bercerita mengenai projek konsert Kurnia Slam 2016 yang bakal berlangsung 14 Mei depan di StarXpo Centre, Kenanga Mall (KWC), Zamani cukup yakin bertentang mata dengan media tanpa mengenakan kaca mata hitam seperti kebiasaan.

Ternyata, seperti dikatakannya sebelum ini, Zamani sudah bebas daripada gejala dadah yang pernah membelenggu hidupnya sekian lama.

Namun begitu, sebagai insan yang pernah terbabit dalam gejala kurang sihat itu, tentu ramai yang ingin tahu bagaimana pemilik nama penuh Zamani Ibrahim ini berdepan dengan godaan yang mungkin menjerumuskan beliau kembali ke jalan lama?

Menjawab persoalan itu, penyanyi bersuara emas ini berkata, godaan paling besar datangnya daripada industri nyanyian itu sendiri.

"Saya akui, pada awalnya saya banyak berdepan dengan masalah sehingga tidak dapat banyak tawaran menyanyi. Perkara itu membuatkan hidup saya tertekan dan dari situlah datangnya godaan sehingga membawa saya ke jalan yang salah.


ZAMANI kini cukup yakin untuk bertentang mata dengan media. Foto Nik Hariff Hassan

"Benda seperti ini memang sangat bahaya. Disebabkan itu, dari awal lagi saya tak nak bagi tekanan dalam diri ini. Kalau ada tekanan, pasti akan menjerumuskan saya kembali ke kancah lama," kata Zamani kepada BH.

Sambil menegaskan beliau sudah kembali sihat seperti sedia kala, Zamani berkata, dirinya sangat teruja dan bersemangat untuk menghiburkan peminat menerusi konsert mega itu.

"Pastinya saya teruja dan tidak sabar untuk mengadakan konsert ini. Saya mahu peminat Slam terhibur dan bergembira sepanjang persembahan berlangsung.

"Persediaan saya pula seperti biasa, iaitu termasuk menjaga stamina dan kesihatan. Seperti saya katakan tadi, saya tak mahu memberikan tekanan dalam diri hanya kerana konsert ini," tegas penyanyi berusia 45 tahun ini.

Dalam temubual itu juga, Zamani melahirkan hasratnya untuk mengundang penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, menyaksikan konsertnya.

"Memang saya ingin mengundang Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, untuk sama-sama menyaksikan konsert kami. Undangan itu adalah sebagai tanda penghormatan sesama rakan artis.


ZAMANI ketika tampil sebagai jemputan pada Konsert Akhir Kilauan Emas Otai di Pusat Konvensyen CIDB. - Foto Adi Safri

"Bukan saja Siti, tetapi juga rakan artis lain yang sama-sama mencipta nama bersama kami atau artis baharu untuk menyaksikan serta memeriahkan konsert ini," ujarnya.

Sementara itu, dalam temubual awal bersama anggota Slam lain, mereka mengakui saat paling mencabar untuk mengadakan konsert itu adalah ketika memilih lagu yang bakal dinyanyikan pada malam berkenaan.

Menurut ketua kumpulan Slam, Shah Nizam Abdul Halim atau Shah, bagi memastikan semua lagu popular Slam dapat diperdengarkan, mereka membahagikan konsert itu kepada beberapa segmen.

"Semua lagu popular kami akan disampaikan mengikut segmen disediakan. Lagu rancak dan perlahan akan disampaikan secara berselang-seli. Biasanya dalam mana-mana konsert, lagu popular akan dinyanyikan pada penghujung konsert. Kami bagaimanapun tidak mahu peminat menunggu terlalu lama," terang Shah yang juga pemain gitar utama kumpulan berkenaan.

Pada konsert ini nanti, Slam turut mengundang dua penyanyi, iaitu Hazama dan Ronnie Hussein sebagai artis undangan.

"Hazama dan Ronnie dipilih kerana mereka peminat setia kami. Lagipun, kedua-duanya penyanyi hebat. Untuk konsert itu nanti mereka juga akan menyanyikan lagu Slam," ujarnya.


ZAMANI bersama anggota kumpulan SLAM dari kiri) Shah Man, Lili dan Ajak, ketika sidang media Konsert Kurnia Slam 2016 yang bakal berlangsung di Kenanga Mall, Jalan Gelugor, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

  • INFO
  • Tiket Konsert Kurnia Slam dibahagikan kepada beberapa kategori harga iaitu RM68 (General Admission), RM98 (Normal), RM158 (Bronze), RM208 (Silver), RM228 (Gold), RM288 (VIP Diamond) dan RM599 (VVIP Platinum).

  • Pembeli tiket berharga RM599 akan berpeluang untuk beramah-mesra dengan anggota Slam.

  • Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my, cawangan TicketPro atau panggilan telefon ke talian 03-78807999.
521 dibaca
Berita Harian X