Jumaat, 6 Mei 2016 | 11:33pm

Safee penyelamat maruah JDT


Pemain JDT, Azammuddin Akail (2) diasak oleh pemain Pulau Pinang, Muhammad Rafiuddin Roddin (20) pada aksi Liga Super 2016, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pemain gantian, Safee Sali muncul penyelamat apabila menyumbat gol kemenangan pada masa tambahan bagi membolehkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Mario Gomez berkongsi 24 mata dengan FELDA United tetapi menduduki tempat kedua kerana perbezaan jaringan, manakala Pulau Pinang kekal di tangga kedua tercorot dengan enam mata.

Ketiadaan kapten Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan bagaikan merencatkan gerakan menarik tuan rumah tatkala posisi tengah seolah-olah hilang arah untuk menjana gerakan menarik pada babak pertama.

Bermula babak kedua, tuan rumah mengatur gerakan dan hampir meleraikan jaringan pada minit ke-46 selepas tindakan berani Amirul Hadi Zainal yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti bertindak mengumpan bola kepada Martin Lucero namun bola rembatan sekadar sipi dari pintu gol.

Sedar betapa tuan rumah sering mengasak untuk mencari gol, skuad bimbingan Manzor Azwira Abd Wahid mengubah corak permainan dengan lebih gemar berkampung di kawasan sendiri bagi menghalang setiap gerakan berbahaya anak didik Mario Gomez.

Malah penjaga gol pelawat, Sani Anuar Kamsani menjadi duri dalam daging buat tuan rumah selepas bertindak menyelamat bola hasil bola tandukan Lucero pada minit ke-81 yang menerima bola umpanan pemain gantian Mohd Amri Yahyah.

Ketika aksi tampak berkesudahan dengan keputusan seri, Safee muncul wira apabila meledakkan jaringan pada minit ke-95 masa tambahan untuk memastikan kemenangan buat tuan rumah.

Berita Harian X