Jumaat, 6 Mei 2016 | 10:05am

Punca harga tiket final Piala FA naik


KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menegaskan betapa kenaikan kos menjadi faktor utama kenaikan harga tiket daripada RM40 kepada RM50 untuk aksi final Piala FA, musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, berkata semua pihak perlu memahami kos penganjuran bagi perlawanan akhir itu tidak sama bagi tahun sebelumnya dan tidak mustahil harga itu terus berubah dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

"Harga tiket RM40 wujud sejak 2012 dan bagi tahun 2016, banyak benda sudah berubah berbanding tahun sebelumnya terutama dari segi kos penganjuran yang semakin meningkat.

"Ia hanya pembetulan harga sebanyak RM10 dalam tempoh empat tahun sejak 2012. Malah, tidak mustahil perubahan itu akan berlaku lagi dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang atas faktor kenaikan kos.

"Semua pihak juga perlu tahu ia bukan berlaku setiap tahun. Kami tidak akan sesuka hati melakukan perubahan jika segala kos itu kami mampu tampung seperti tahun sebelumnya," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Antara kos yang naik termasuk stadium, elaun dan makanan bagi semua petugas termasuk pihak berkuasa, kos keselamatan, upacara penyampaian hadiah dan sebagainya.

Mengulas berkenaan pembahagian keuntungan kepada pasukan pula, Kevin berkata kedua-dua pasukan akan mendapat hasil sama rata daripada penjualan tiket itu selepas ditolak segala kos.

"Pecahan (pembahagian keuntungan) ini kami ikut dengan apa yang sudah dilakukan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebelum ini dan apa saja hasil yang lebih selepas ditolak kos akan kembali kepada pasukan.

"Jadi tidak timbul soal FMLLP mengaut keuntungan besar daripada kenaikan harga tiket kerana semuanya akan kembali kepada pasukan dan bukan ia memberi hasil kepada kami," katanya.

Selain itu, berkenaan pemansuhan tiket untuk kanak-kanak pula, Kevin menjelaskan betapa ia sepatutnya tidak menjadi isu kerana sebelum ini hanya tiga peratus saja tiket diperuntukkan untuk golongan berkenaan.

"Tidak wajar untuk mengatakan kami menyekat keghairahan bola sepak tempatan kerana memansuhkan tiket bagi kanak-kanak. Malah, walaupun harga tiket RM50 hanya untuk satu kategori, tapi kanak-kanak lima tahun ke bawah dibenarkan masuk percuma.

"Kami juga melakukan pelbagai program menarik golongan ini meminati bola sepak tempatan termasuk penganjuran program khas buat 1,000 kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun secara percuma pada perlawanan akhir nanti," katanya.

Berita Harian X