Jumaat, 6 Mei 2016 | 7:59am

Djokovic, Nadal, Murray ke suku akhir Madrid


NOVAK Djokovic menewaskan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-2, 6-1 untuk mara ke suku akhir Masters Madrid. - Foto AFP

MADRID: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic merekodkan kemenangan ke-30 dalam musim yang dikuasainya selepas menewaskan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-2, 6-1 untuk mara ke suku akhir Masters Madrid, awal pagi tadi.

Rafael Nadal dan juara bertahan, Andy Murray turut berada di landasan tepat untuk membuat perhitungan di separuh akhir apabila masing-masing mengatasi Sam Querrey dan Gilles Simon dengan straight set.

Djokovic yang beraksi di Madrid buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun tetapi tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan altitud berbeza di ibu kota Sepanyol itu untuk mara ke suku akhir dengan hanya tercicir sembilan permainan.

"Selepas permainan yang panjang ketika keputusan 2-2 di set pertama, saya berjaya mematahkan pukulan servisnya. Selepas itu persembahan saya sangat sempurna, semuanya berjalan dengan baik.

"Corak permainan saya hari ini (awal pagi tadi) memberikan saya kepuasan. Saya harap saya boleh meneruskan rentak cemerlang ini," kata Djokovic.

Pemain Serbia itu akan meneruskan pemburuan gelaran kelima musim ini dengan menentang Milos Raonic yang mara selepas menewaskan pemain pilihan ketujuh, Jo-Wilfried Tsonga 6-4, 6-4.

Sementara itu, Nadal meneruskan rentak cemerlangnya di gelanggang tanah liat Eropah apabila dia bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Querrey 6-4, 6-2.

Juara Grand Slam 14 kali itu beraksi cemerlang ketika menjuarai kejohanan di Monte Carlo dan Barcelona dan dia dalam misi untuk mengatasi rekod Guillermo Vilas yang merangkul gelaran juara sebanyak 50 kali ini di gelanggang tanah liat.

Nadal akan bertemu pemain Portugal, Joao Sousa yang menewaskan Jack Sock 6-1, 6-7 (3/7), 6-2.

Murray pula melebarkan rekod kemenangannya ke atas Simon kepada 14-2 apabila dia mengatasi lawannya itu dengan kemenangan 6-4, 6-2 dan akan membuat perhitungan dengan juara Grand Slam dua kali, Tomas Berdych bagi memburu tempat ke separuh akhir. - AFP

Berita Harian X