Jumaat, 6 Mei 2016 | 12:05am

Hidupkan semangat berlumba buat kebajikan


Umat Islam digalakkan berlumba-lumba membuat kebajikan kerana setiap amalan akan dihitung pada Hari Kiamat. - Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Allah SWT memberi pilihan kepada manusia untuk memilih antara dua jalan dalam kehidupan mereka, adakah ingin beriman atau tidak, membantu kebenaran atau kebatilan, ingin membuat kebaikan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pilihan ini tidak berkekalan selama-lamanya, ia mempunyai had waktu dan tempohnya iaitu sewaktu manusia berada di dunia. Apabila tiba kematian, waktu dan saat memilih sudah tamat. Setiap orang beriman dituntut berlumba-lumba membuat kebaikan sebelum ajal dan amalan mereka itu akan dihitung satu persatu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di Padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun daripada mereka." (Surah al-Kahfi, ayat 47)

Allah SWT menjelaskan, setiap umat mempunyai arah tersendiri ketika bersolat. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menghadap ke arah Kaabah, Bani Israel menghadap ke Baitulmaqdis, manakala orang Nasrani menghadap ke arah Timur.

Kiblat bukan persoalan pokok

Sebenarnya isu kiblat bukannya persoalan pokok dalam agama seperti mentauhidkan Allah SWT dan beriman kepada hari akhirat, ia hanyalah persoalan ranting yang berbeza mengikut kepelbagaian umat manusia.

Di sini Allah SWT seolah-olah berfirman kepada orang yang membuat fitnah dan terpengaruh dengannya bahawa inti serta sendi pokok agama terletak dalam kegiatan bersaing untuk berbuat kebaikan. Adakah kamu melihat Muhammad SAW dan sahabatnya mengabaikan perkara kebaikan atau mereka berlumba mencari kemuliaan?


ALLAH menegaskan bahawa inti serta sendi pokok agama terletak dalam kegiatan bersaing untuk berbuat kebaikan. Gambar hiasan.

Justeru, tinggalkanlah perdebatan dan ikutlah kebaikan yang diperintahkan agama kerana ia jalan kebahagiaan dunia dan akhirat. Keraguan yang ditimbulkan berpunca daripada sifat sombong mereka terhadap kebenaran dibawa Rasulullah SAW.

Setiap orang perlu berlumba-lumba melakukan kebaikan kerana posisi arah dan negeri bukannya perkara penting dalam agama.

As-Syahid Sayyid Qutb ketika mengulas ayat itu menyebut, Allah SWT mengalihkan perhatian orang Islam supaya jangan tergugat dan terpengaruh kepada komplot, fitnah, tafsiran dan perkataan yang ditaburkan oleh Ahli Kitab.

Allah SWT mengalihkan perhatian mereka ke arah bekerja dan berlumba-lumba kepada amalan kebajikan sambil mengingatkan bahawa seluruh manusia akan kembali kepada Allah SWT untuk menerima pembalasan berdasarkan amalan masing-masing.

Perlumbaan lakukan amal salih Perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal salih yang berterusan. Allah SWT juga menceritakan mengenai sikap Nabi Zakaria melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami." (Surah al-Anbiya', ayat 90)

Syeikh Rashid Ridha dalam tafsir Al-Mannar, berkata Allah SWT menyebut pembalasan di akhirat selepas perintah berlumba-lumba membuat kebaikan untuk menunjukkan pembalasan Allah SWT berdasarkan perbuatan baik dilakukan manusia, bukannya faktor negara dan arah mana seseorang itu berada.

Sesungguhnya keimanan kepada Allah SWT adalah dasar kebaikan, ia tidak wujud kecuali jika jiwa itu mantap dengan rasa tunduk dan ketenangan hati. Keimanan kepada Allah SWT akan melepaskan jiwa seseorang daripada perasaan tunduk dan rendah diri terhadap manusia lain.

Seorang Mukmin tidak rela menjadi hamba yang hina kepada manusia, sebaliknya seorang Mukmin hanya mahu tunduk kepada Allah SWT dan hukum-Nya sahaja. Semangat berlumba membuat kebaikan dan kebajikan tercetus kepada yang memahami hakikat kehidupan tempat mencari bekalan bertemu Allah SWT.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

46 dibaca
Berita Harian X