Rabu, 4 Mei 2016 | 8:35am
RAFAEL Nadal (kanan) dan Murray teruskan kemaraan di Masters Madrid. - Foto AP/AFP

Nadal, Murray teruskan kemaraan di Masters Madrid

MADRID: Juara Grand Slam sebanyak 14 kali, Rafael Nadal menambah rekod permulaan baik dalam musim gelanggang tanah liat di Eropah kepada 11 perlawanan selepas kemenangan 6-3, 6-3 mengatasi Andrey Kuznetsov dari Russia, semalam bagi meneruskan kemaraan di pusingan ketiga Masters Madrid.

Juara bertahan, Andy Murray pula memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan 7-6 (7-3), 3-6, 6-1 berdepan pemain Republik Czech, Radek Stepanek untuk kekal di landasan untuk pertemuan separuh akhir dengan Nadal.

Segar daripada kejayaan di Monte Carlo dan Barcelona, Nadal akan meneruskan pemburuan kelima di Madrid menentang pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey atau pemain Perancis, Lucas Pouille esok.

Nadal juga dalam pemburuan gelaran ke-50 gelanggang tanah liat di ibu negara Sepanyol dan dilihat tidak goyah dengan pertemuan pemain nombor 39 dunia, Kuznetsov.

Pemain Sepanyol itu mendahului set pertama dengan 3-0 dan melakukan satu break yang mencukupi baginya memenangi set itu.

Kuznetsov memulakan set kedua dengan baik apabila mendahului 3-2 namun Nadal bangkit apabila memperoleh rentaknya semula untuk memenangi empat permainan terakhir.

Laluan Nadal ke final dilihat semakin mudah apabila jangkaan lawannya di suku akhir, Roger Federer menarik diri berikutan kecederaan belakang pada Isnin lalu.

Bagaimanapun dia bakal bertemu Murray dalam pusingan separuh akhir bagi mengulangi final tahun lalu. - AFP

Berita Harian X