Selasa, 3 Mei 2016 | 10:58pm
HADIRIN yang hadir pada malam pertama Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Abdullah Yusof

68 qari, qariah sertai Tilawah al-Quran Antarabangsa


QARI Pakistan, Gulzar Ahmed. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Seramai 10 peserta masing-masing enam qari dan empat qariah memperdengar bacaan ayat suci al-Quran pada malam pertama Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Mereka adalah qari Maldives, Ibrahim Shifau yang membaca Surah Ibrahim ayat 19; diikuti qariah Maghribi, Salma Bounaamane (Surah ar-Ra'd ayat 1) dan qari Pakistan, Gulzar Ahmed (Surah al-Israk ayat 78).

Ini diikuti, qariah Kemboja, El Asiyah yang membaca Surah Toha ayat 116, qari Maghribi, Mouad Daonik (Surah al-Ana'm ayat 31), dan qariah Indonesia, Mastia Lestaluhu (Surah Saba ayat 15).

Seterusnya, qari Kanada, Mohammad Mozammel Hossain yang membaca Surah al-Rum ayat 47), dan qari Turki, Mahmud Sagir (Surah al-Mukminun ayat 88).

Dua lagi peserta adalah qariah Vietnam, Zay Mah yang membaca Surah an-Nahl ayat 1 dan qari Hong Kong, Khan Amir yang membaca Surah an-Nur ayat 41.

Penganjuran tilawah antarabangsa tahun ini bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Sebanyak 68 peserta akan memperdengarkan bacaan daripada 38 peserta bagi kategori tilawah dan 30 peserta bagi kategori hafazan.

Kategori tilawah, johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59, iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayob akan mewakili Malaysia.

Johan qari dan qariah kategori tilawah bakal membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Bagi kategori hafazan, johan hafiz dan hafizah bakal menerima kepingan emas bernilai RM20,000 tajaan YAPEIM, piala iringan dan wang tunai RM20,000.

Majlis tilawah itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1, serta Radio Klasik FM dan IKIM FM.

Berita Harian X