Selasa, 3 Mei 2016 | 6:38pm

Mayat wanita di tempat pembuangan sampah


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang wanita yang ditemui di tempat pembuangan sampah di hadapan Tokong Kwan Win Tong, Kampung Rapat di Ipoh, pagi tadi. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden

IPOH: Mayat seorang wanita dipercayai mangsa bunuh ditemui di tempat pembuangan sampah di hadapan Tokong Kwan Win Tong, Kampung Rapat di sini, pagi tadi.

Mayat ditemui pada jam 10.25 pagi oleh seorang wanita berusia 72 tahun yang bekerja di tokong berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Noor Rasid, berkata siasatan awal mempercayai mangsa berusia antara 30 hingga 40-an yang lengkap berpakaian baju dan seluar tidur merah jambu itu dibunuh di tempat lain sebelum dibuang ke tempat kejadian.

"Siasatan polis menemui kesan kelar di leher mangsa manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau meminta keluarga yang kehilangan saudara atau waris membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Chan Mooi Mooi, 72, yang sudah sembilan tahun bekerja di tokong berkenaan, berkata seorang lelaki tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita di tempat pembuangan sampah tetapi tidak diendahkan kerana sibuk bekerja.

"Ketika ingin membuang sampah, saya ternampak mayat berkenaan dan memberitahu majikan yang menghubungi polis," katanya.

Berita Harian X