Selasa, 3 Mei 2016 | 3:25pm

Mayat kanak-kanak lemas ditemui


KANAK-KANAK lelaki berusia 11 tahun yang terjatuh dalam longkang berhampiran Kampung Masjid Ubaidiah, Segambut Dalam, petang semalam, ditemui lemas di Sungai Kelang berhampiran USJ 1, pagi tadi. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terjatuh dalam longkang berhampiran Kampung Masjid Ubaidiah, Segambut Dalam, petang semalam, ditemui lemas di Sungai Kelang berhampiran USJ 1, pagi tadi.

Mayat Saifullah Hamin ditemui kira-kira jam 11.32 pagi tadi, selepas pihak bomba menyambung usaha pencarian jam 9 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azizan Ismail, berkata kawasan pencarian dipanjangkan dengan menyusuri longkang dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh dan seterusnya sehingga lokasi mayat mangsa ditemui.

"Anggota dari Balai Hartamas, Jinjang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) giat melakukan pencarian sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari.

"Mayat mangsa berjaya ditemui dan dibawa naik dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Subang Jaya. Proses pengecaman sudah pun dibuat oleh keluarganya dan mayat itu disahkan sebagai Saifullah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikatakan terjatuh selepas cuba mengambil seliparnya di dalam longkang itu sebelum dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat.

Berita Harian X