Selasa, 3 Mei 2016 | 1:58pm
KEPULAUAN Nauru.

Pelarian bakar diri di Nauru, kini kritikal

CANBERRA: Seorang pelarian wanita yang membakar diri di Nauru selepas dihantar ke kepulauan Pasifik itu oleh Australia berada dalam keadaan kritikal, beberapa hari selepas seorang lelaki Iran meninggal dunia kerana tindakan sama.

Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton, berkata kejadian itu pada Isnin dan tindak tanduk mereka yang ditahan di kepulauan kecil itu semakin memuncak.

Namun beliau menegaskan tindakan itu tidak akan menyebabkan kerajaan menyimpang daripada matlamatnya.

"Kami tidak akan membenarkan orang lemas di laut lagi," katanya kepada wartawan di sini.

Dutton menyalahkan kumpulan penyokong pelarian kerana menggalakkan golongan itu di pusat tahanan supaya bertindak demikian kerana percaya akan menekan kerajaan membawa mereka pulang ke Australia.

"Tindak tanduk seumpama itu memuncak kebelakangan ini dan seperti yang kita lihat, ia kini bertukar menjadi tindakan melampau dengan akibat buruk," katanya.

Menurut dasar yang dikritik hebat, Canberra menghantar semua pemohon suaka yang tiba dari laut ke kem di Nauru dan Papua New Guinea dan tidak membenarkan mereka menetap di Australia walaupun disahkan pelarian. - AFP

Berita Harian X