Isnin, 2 Mei 2016 | 7:33pm

Bayi koma dipercayai didera

CHUKAI: Polis masih menyiasat kes seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan koma dipercayai didera pengasuhnya di Kerteh, Rabu lalu.

Bayi itu dihantar ibunya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dalam keadaan koma, selepas diambil daripada pengasuhnya yang juga tinggal di Kerteh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di HTAA yang merawat bayi itu pada 27 April lalu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Siasatan awal mendapati bayi itu dihantar ibunya ke rumah seorang pengasuh berusia 22 tahun di Kerteh pada hari kejadian.

"Doktor yang merawatnya memaklumkan tengkorak bayi terbabit mengalami kecederaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya polis masih menyiasat kes itu secara terperinci dan mendapatkan bukti kukuh sebelum melakukan sebarang penahanan.

Berita Harian X