Isnin, 2 Mei 2016 | 3:59pm

Rakyat lega isu MB Terengganu berakhir

AHMAD Razif Abd Rahman. - Foto Aswadi Alias

JERTIH: Pelbagai pihak di negeri ini menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengekalkan Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Menteri Besar.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof, berkata pengumuman mengekalkan Ahmad Razif melegakan rakyat negeri ini, terutama ahli parti.

Katanya, dengan pengumuman itu, diharap tidak ada lagi pihak yang menimbulkan isu mengelirukan rakyat mengenai pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri berkata, Perdana Menteri bertindak bijak menyelesaikan isu yang mencetuskan rasa kecelaruan dalam kalangan rakyat negeri ini berhubung kepimpinan kerajaan negeri.

"Saya bersyukur kemelut melanda negeri sejak seminggu lalu berakhir dengan baik dan diselesaikan dengan penuh tertib," katanya kepada media selepas melawat ibu kanak-kanak OKU mangsa dera di Taman Selasih, Padang Landak, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan setiap ahli supaya pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan lancar demi meneruskan agenda pembangunan rakyat.

"Persidangan cawangan UMNO seluruh negeri ini yang berakhir kelmarin juga berjalan lancar dan tiada usul dibangkitkan akar umbi yang mahu Menteri Besar ditukar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh ahli UMNO memberi perhatian kepada pengukuhan jentera parti, manakala kakitangan kerajaan pula meneruskan tugas masing-masing dengan lebih berkesan.

Berita Harian X