Sabtu, 1 November 2014 | 10:48am

9 termasuk dua kanak-kanak cedera nahas di Lembah Beringin

RAWANG: Sekurang-kurangnya sembilan penumpang termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori di Kilometer 406 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Lembah Beringin, awal pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu sebuah bas rombongan yang membawa 44 guru dan pelajar sebuah sekolah di Permatang Janggus dalam perjalanan dari Seberang Perai ke Kuala Lumpur.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, pemandu bas rombongan berkenaan gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori.

"Sembilan penumpang cedera termasuk dua kanak-kanak manakala 35 yang lain berjaya diselamatkan. Semua mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

"Balai Bomba dan Penyelamat Rawang menerima panggilan pada jam 4.16 pagi. Difahamkan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan cedera parah," menurut kenyataan, hari ini.

Berita Harian X