Isnin, 2 Mei 2016 | 2:03pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof (kanan) bertanya khabar kepada kanak-kanak OKU yang berusia 9 tahun yang didakwa didera oleh bapa tiri ketika melawat mangsa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, hari ini. - Foto Mohamad Ishak

JKM awasi mangsa dera

JERTIH: Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang menjadi mangsa dera bapa tirinya, sudah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof, berkata kanak-kanak itu masih mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Sebaik dia dibenarkan keluar, kanak-kanak itu akan ditempatkan di rumah pengasuh kanak-kanak di Kuala Terengganu.

"Dia akan diletakkan di bawah pengawasan JKM," katanya ditemui selepas melawat kanak-kanak itu di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan, hari ini.

Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Taman Selasih, Padang Landak dekat sini, mengalami banyak kesan lebam di tubuhnya dipercayai dipukul oleh bapa tirinya dan perkara itu disedari jirannya yang kemudian membuat laporan polis, Khamis lalu.

Ibu mangsa dikatakan menyembunyikan kes anaknya didera kerana bimbangkan keselamatannya.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, beliau sedih kerana masih ada ibu bapa yang bersifat tidak berperikemanusiaan dengan mendera anak sendiri.

Katanya, kes mendera anak terutama anak OKU adalah sesuatu yang serius dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat moden hari ini.

"Masyarakat sekitar juga perlu peka dengan masalah jiran dan saling membantu jika mereka menghadapi sesuatu masalah dalam keluarga.

"Malah, kerajaan menerusi agensinya sudah melaksanakan pelbagai program kerohanian dan keagamaan bagi meningkatkan kualiti institusi keluarga supaya tiada kes seumpama itu berlaku di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek berusia 34 tahun, dipercayai bapa tiri kanak-kanak terbabit kini ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Berita Harian X