Isnin, 2 Mei 2016 | 12:21am
PINTU masuk Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis
KETUA Pengarah Perhutanan, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim. - Foto Rosela Ismail
HUTAN Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis
PELANCONG menikmati kehijauan alam di Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis

Jabatan Perhutanan tiada kuasa halang pembangunan


KUALA LUMPUR: "Jabatan Perhutanan tidak berdaya menghalang sebarang cadangan pembangunan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) kerana ia bukan kuasa kami."

Demikian dilema yang dihadapi jabatan berkenaan kerana peranannya terhad kepada pemeliharaan hutan tetapi tidak diberi kuasa untuk mempertahankan HSK daripada diancam pembangunan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim, berkata mengikut Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, hasil bumi termasuk hutan adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa negeri, manakala di Wilayah Persekutuan pula, ia dalam bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Sudah banyak projek pembangunan membabitkan kawasan HSK yang tidak disokong oleh Jabatan Perhutanan tetapi tetap diteruskan," katanya kepada BH.


HUTAN Simpan Bukit Sungei Puteh yang dirancang pembangunan bercampur dan lebuh raya. - Foto Sairien Nafis

Katanya, isu sama berlaku kepada permohonan pembangunan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh yang terbabit dengan cadangan pembangunan bercampur dan lebuh raya.

"Sebagai seorang pemelihara hutan di Jabatan Perhutanan, saya tegas untuk tidak menyokong sebarang permohonan warta keluar hutan simpanan kekal (tukar status), namun tidak boleh menghalangnya kerana ia di luar bidang kuasa jabatan," katanya.

Selain HSK Bukit Sungei Puteh yang hanya berbaki seluas 14.5 hektar bakal lenyap, jabatan itu juga bimbang terhadap masa depan hutan simpan kekal lain yang turut "diintai" sesetengah pihak untuk projek pembangunan terutama di sekitar Lembah Klang.

"Mujurlah Hutan Simpan Bukit Nanas ada alasan kukuh untuk dipertahankan. Itupun ia sudah menyusut daripada 17 hektar kepada 9.37 hektar akibat pembangunan yang banyak di sekelilingnya seperti pembinaan hotel dan Menara Kuala Lumpur.


PEMANDANGAN Hutan Simpan Bukit Nanas yang dihimpit pembangunan di Menara Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Itupun kerana hutan itu berbukit. Jika diganggu lagi, menara itu boleh terjejas dan berisiko tumbang.

"Kerana itu kita sudah jenamakan Hutan Simpan Bukit Nanas sebagai Taman Eko Rimba Kuala Lumpur untuk mempertahan khazanahnya," katanya.

Katanya, pada pandangan jabatan, pembangunan yang sangat keterlaluan di Lembah Klang sehingga mengurangkan hutan wajar dihentikan.

Beliau mengulas siri pendedahan BH sebelum ini mengenai kemusnahan hutan simpan di sekitar Kuala Lumpur akibat himpitan pembangunan.

Abd Rahman berkata pembangunan di Kuala Lumpur tidak mematuhi pelan pembangunan sebenar kota metropolitan itu yang tidak mengambil kira kepentingan hutan dalam fungsi ekosistem.

"Meskipun ada dasar yang menetapkan apa saja projek yang mengambil hutan simpan kekal perlu diganti semula tetapi biasanya tidak berlaku atau lambat.

"Bagaimana hendak diganti sedangkan hutan di Kuala Lumpur pun tidak banyak lagi," katanya.

Fakta nombor

  • Daripada 106 hektar kini 68 hektar hutan simpan di Kuala Lumpur.
  • Kadar 50 peratus keluasan hutan negara gagal dipertahankan kerana pembangunan.
  • Jabatan Perhutanan sasar 5.9 juta hektar hutan simpan kekal daripada 4.9 juta hektar masa ini.

Berita Harian X