Ahad, 1 Mei 2016 | 10:43pm

Pelajar pengsan ketika daki Gunung Pulai

ANGGOTA bomba mengusung Nurul Asyikin yang pengsan ketika mendaki Gunung Pulai, tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba

BALING: Seorang penuntut universiti awam pengsan ketika mendaki Gunung Pulai bersama sekumpulan rakannya pada ketinggian 500 meter, tengah hari tadi.

Nurul Ashikin Mohd Razali, 22, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang, pergi mendaki bersama 37 lagi rakannya pada pagi tadi sebelum mangsa pengsan dipercayai akibat keletihan ketika tiba di ketinggian 500 meter gunung itu.

Rakan mangsa kemudiannya membuat panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari sebelum pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba 10 minit selepas itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhamad Lukman, berkata tujuh anggota tiba di lokasi kejadian bagi membawa mangsa turun.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah sedarkan diri namun berada dalam keadaan lemah sebelum dia dibawa turun menggunakan pengusung.

"Mangsa berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat namun dihantar ke Hospital Baling untuk menerima rawatan lanjut, " katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X