Ahad, 1 Mei 2016 | 5:00pm

Bomba Terengganu bergelut padam kebakaran hutan

DUNGUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT) terus berusaha memadam kebakaran hutan gambut dan belukar yang masih terbakar di negeri ini, dipercayai akibat cuaca kering dan panas melampau.

Pegawai Perhubungan Awam JBPT negeri, Rozizah Abni Hajar, berkata ketika ini, kira-kira empat hektar kawasan dan belukar membabitkan kawasan Hutan Pengkalan Jering, Dungun dan Bukit Layat, Setiu, masih terbakar.

Beliau berkata, kebakaran di Dungun membabitkan kawasan seluas kira-kira tujuh hektar dan setakat ini 3.5 hektar masih terbakar.

"Kebakaran belukar di Setiu pula menyebabkan kawasan seluas tiga hektar musnah dalam kebakaran dan usaha memadamkan kira-kira satu hektar lagi masih giat dijalankan.

"Kita menjangka kebakaran hutan di Setiu itu dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya hari ini," katanya.

Rozizah berkata, kebakaran di daerah Dungun pula mungkin mengambil masa kira-kira tiga hari lagi untuk dipadamkam bergantung kepada keadaan cuaca dan punca air.

"Sebelum ini, kira-kira 200 hektar kawasan hutan dan belukar di negeri ini musnah terbakar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini akibat fenomena El Nino yang melanda negara sekarang.

"Sepanjang tempoh itu juga, lebih 900 panggilan kecemasan membabitkan kebakaran hutan dan belukar sudah direkodkan," katanya.

Katanya, cuaca panas dan kering menyebabkan kawasan seperti ladang, belukar dan hutan mudah terdedah kepada risiko kebakaran.

"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk untuk aktiviti pertanian sepanjang musim kemarau ini," katanya.

Berita Harian X