Ahad, 1 Mei 2016 | 12:11am
BAGI pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu tetapi tidak sempat ke pulau terbabit, mereka masih boleh bersantai di beberapa pulau di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR). - Foto Edmund Samunting
PENGUNJUNG di Pulau Sapi. - Foto Edmund Samunting

5 pulau untuk percutian singkat di Sabah

PULAU Sapi. - Foto Edmund Samunting

SEBUT saja Sabah, pasti ramai terbayang keindahan pulau di Semporna seperti Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai, selain Pulau Mantanani di Kota Belud serta Pulau Lankayan, Kudat.

Bagi pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu tetapi tidak sempat ke pulau terbabit, mereka masih boleh bersantai di beberapa pulau di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR).

Taman negara itu terdiri daripada lima pulau yang saling berdekatan iaitu Pulau Manukan, Mamutik, Sapi, Gaya dan Sulug, masing-masing tidak kurang indahnya dengan pasir memutih serta laut jernih.

Hanya kira-kira 20 minit menaiki bot dari Jeti Jesselton Point di Kota Kinabalu, pengunjung akan disambut oleh ramai operator pelancongan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk jelajah pulau dengan bot, sukan pantai serta rekreasi marin.

Bagi Pulau Manukan, kekayaan kepelbagaian hidupan marin berwarna-warni menjadi tumpuan utama pengunjung, selain tumpuan bagi aktiviti snorkeling dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk gerai makanan masakan tempatan dan lokasi perkelahan.

Pulau Mamutik juga memiliki daya tarikan tersendiri kerana lengkap pelbagai kemudahan seperti ruang rehat, tandas, kedai cenderamata serta gerai makanan dengan keindahan pantai menjadi tarikan selain lanskap hijau dari pokok serta hiasan yang mengindahkan pemandangan pulau berkenaan.

AKTIVITI snorkeling yang disediakan di Pulau Manukan. - Foto Edmund Samunting

Keluasan terhad, kedatangan pelawat padat

Pulau yang semakin menjadi kegilaan pengunjung di TTAR pastinya Pulau Sapi. Kejernihan airnya seolah-olah tiada tandingan namun ia tidak mampu menampung kehadiran pengunjung yang ramai kerana keluasannya terhad.

Jadi, jika ingin berkunjung ke Pulau Sapi, pengunjung boleh mendapatkan maklumat trafik daripada operator pelancongan di jeti Jesselton Point.

Antara tarikan utama di Pulau Sapi pada waktu siang ialah aktiviti pantai seperti snorkeling, selain produk terbaiknya iaitu 'zipline flying fox' atau bergayut dan meluncur daripada Pulau Gaya ke Pulau Sapi.

Bergayut sambil meluncur sejauh kira-kira 250 meter itu pasti memberi pengalaman hebat kepada pengunjung yang mencubanya.

Zipline flying fox di Pulau Sapi dikatakan antara yang terpanjang di dunia bagi kategori dari pulau ke pulau. Alang-alang sudah sampai ke Pulau Sapi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti lasak mendebarkan itu.

Berdasarkan pengalaman penulis yang mencubanya, perasaan takut akan hilang dalam beberapa saat apabila melihat pemandangan indah sambil meluncur selama kira-kira 40 saat.

AKTIVITI 'zipline flying fox' di Pulau Sapi. - Foto Edmund Samunting

PESERTA bersiap sedia untuk menjalani aktiviti 'zipline flying fox'. - Foto Edmund Samunting

INFO - Taman Tunku Abdul Rahman

  • Memiliki 5 pulau terletak saling berdekatan
  • Pantai memutih serta air yang jernih
  • Pulau Sapi terkenal dengan aktiviti 'zipline flying fox'
  • Perjalanan ke pulau mengambil masa 20 minit dari jeti Jesselton Point
Berita Harian X