Sabtu, 30 April 2016 | 5:11pm

TNB rangkul Anugerah Platinum CSR Global 2016

KUALA LUMPUR: Syarikat utiliti gergasi, Tenaga Nasional Bhd (TNB) merangkul anugerah platinum di acara Sidang Kemuncak dan Penganugerahan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Global 2016 Kali Kelapan, di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Anugerah bagi kategori Kepimpinan CSR itu diberi berdasarkan pembabitan aktif Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dalam aktiviti CSR syarikat yang menekankan usaha-usaha TNB dalam pendidikan, pemuliharaan, kelestarian alam sekitar serta pembangunan komuniti, kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu turut menggondol tiga anugerah lain menerusi dua anak syarikatnya termasuk TNB Research Sdn Bhd yang meraih anugerah emas kategori Kecemerlangan Alam Sekitar Terbaik berikutan kejayaan menghasilkan kajian, pemuliharaan alam sekitar, memindah serta menyelamatkan hidupan liar di Projek Hidro Hulu Terengganu.

TNB Janamanjung Sdn Bhd pula merangkul dua anugerah iaitu emas bagi kategori Amalan Tempat Kerja Terbaik serta anugerah perak bagi kategori Kecemerlangan Persekitaran Terbaik berikutan pengoperasian stesen yang memberi penekanan kepada aspek keprihatinan warga kerja dan alam sekitar.

"Kejayaan ini membuktikan syarikat berada di landasan tepat bagi mempromosi aktiviti-aktiviti CSR dan kelestarian alam sekitar di rantau ini," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X