Sabtu, 30 April 2016 | 1:51pm

TERKINI: 4 cedera, 39 terselamat nahas dekat Tangkak

SEKURANG-KURANGNYA 40 orang cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler, satu bas dan empat kereta di Kilometer 174 Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS), menghala ke Tangkak, Johor kira-kira jam 10.25 pagi tadi.

JASIN: Empat cedera manakala 39 terselamat dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 174 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Tangkak, pagi tadi.

Nahas di laluan lebuh raya menghala ke Tangkak jam 10.25 pagi itu membabitkan satu treler, satu bas dan lima kereta.

Mangsa yang cedera terdiri daripada seorang penumpang bas, dua penumpang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan seorang penumpang kereta.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali, berkata sepasukan 23 anggota bersama enam jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 10.37 pagi.

Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian pada jam 11.12 pagi, anggota bomba dan penyelamat mendapati berlaku kemalangan membabitkan tujuh kenderaan, termasuk sebuah lori kontena dan bas.

"Mangsa yang cedera ialah seorang penumpang bas, dua penumpang yang menaiki Toyota Hilux dan seorang penumpang PROTON Persona.

"Seramai 39 lagi terselamat. Empat mangsa yang cedera dihantar ke ke Hospital Jasin dan Hospital Tangkak untuk menerima rawatan lanjut, manakala kerja pengalihan semua kenderaan yang terbabit sudah dilakukan oleh anggota kita," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, antara balai bomba yang terbabit dalam operasi itu termasuk, Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Jasin, Bukit Katil dan Tangkak, Johor.

Berita Harian X