Sabtu, 30 April 2016 | 7:31am
FOTO dari rakaman televisyen menunjukkan penduduk tempatan membantu mengeluarkan mangsa dari runtuhan di Nairobi. - Foto BBC

Bangunan runtuh di Nairobi, 3 terbunuh


PASUKAN penyelamat berada di lokasi nahas bangunan enam tingkat yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir di tengah ibu negara Kenya, hari ini. - Foto Reuters

NAIROBI: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala ramai lagi terperangkap apabila bangunan enam tingkat runtuh akibat hujan lebat dan banjir di tengah ibu negara Kenya, demikian lapor stesen televisyen KTN.

Klip video secara langsung menunjukkan anggota penyelamat membawa keluar dua mangsa yang terselamat di bangunan yang terletak di kawasan kediaman Huruma di timur laut Nairobi.

Tiga kanak-kanak dan seorang dewasa sebelum itu dibawa keluar dan terus dikejarkan ke Hospital Umum Kenyatta, kata pasukan Palang Merah menerusi posting Twitte.

Kira-kira 150 isi rumah dibawa keluar untuk berlindung di perkampungan berhampiran bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Pasukan bantuan menyifatkan kejadian yang berlaku amat menyedihkan.

Akhbar harian The Daily Nation melaporkan, lebih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap dan setakat ini pihak berkuasa tidak menyatakan secara rasmi angka korban.

Stesen swasta KTN melaporkan dari tempat kejadian, setakat ini 58 orang sudah diselamatkan termasuk seorang bayi namun masih ramai penghuni masih terperangkap dalam runtuhan bangunan. - AFP

Berita Harian X